Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 49)
Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK
Advertisement
DUA orang anak Umar Al-Khattab iaitu Abdullah dan Ubaidillah bermusafir. Mereka melintasi kawasan Abu Musa Al-Asyaari. Ketika itu beliau menjadi gabenor di Basrah. Mereka singgah menziarahinya.
Abu Musa meraikan mereka berdua. Beliau berkata: ‘Aku suka buat suatu perkara yang kamu berdua boleh ambil manfaat darinya. Aku ada harta dari harta Baitulmuslimin. Aku mahu hantarkan kepada Amir al-Mukminin. Kamu berdua ambil dahulu harta ini, beli barang untuk perniagaan dari Iraq, kemudian jual di Madinah. Kamu ambil untung darinya, dan beri modal asal kepada Amir al-Mukminin.’
Abdullah dan Ubaidillah melakukannya, dan mereka mendapat untung darinya.
Apabila berita tersebut sampai kepada Umar, beliau berkata: ‘Adakah Abu Musa beri modal kepada semua anggota rombongan atau untuk kamu berdua sahaja?
Mereka berdua menjawab: ‘Bahkan. Dia beri kepada kami sahaja.’
Umar menjawab: ‘Dia buat begitu kepada kamu berdua kerana kamu anak Amir al-Mukminin. Sebab itu dia memuliakan kamu.’
Umar meminta kedua-duanya memberi modal dan untung kepada Baitulmal. Selepas berdebat panjang antaranya dan anaknya, Ubaidillah, Umar mengambil jalan tengah dengan mengambil modal dan separuh untung untuk Baitulmal. Separuh untung lagi untuk Abdullah dan Ubaidillah.
(Albayan alfasil baina alhaq walbatil, Ali Fikri ms167)
Dari kisah di atas, ada beberapa pelajaran yang boleh dipetik:
1- Sikap Umar yang sangat tegas dan berprinsip dalam semua keadaan, sebagai satu sifat hebat bagi seorang pemimpin yang perlu diteladani.
2- Harta Baitulmal ialah untuk kegunaan orang Islam. Tidak boleh dibuat dan diguna sewenang-wenangnya.
3- Anak disayangi. Namun, syarak- iaitu Allah dan Rasul lebih disayangi. Justeru, Umar mendahulukan syarak dari anak. Ia adalah tanda iman yang kuat dalam diri seseorang.
4- Sekali lalu kelihatan tidak ada apa-apa yang kurang kerana modal asal tetap dikembalikan kepada Baitulmal. Namun, cara yang dibuat oleh kedua-dua anak tetap tidak disenangi oleh Umar al-Khattab.
5- Mereka yang mengurus dan bertanggungjawab terhadap Baitulmal perlu mengsmbil contoh dari kisah ini, agar harta umat Islam diurus dengan baik, adil dan saksama.
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 8/9/2022




