Setiap ujian orang itu berbeza-beza. Namun, jika kita melihat orang di sekeliling kita yang mengalami kesusahan, sebenarnya ia adalah satu ujian untuk kita sendiri.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Zulfitri Basir, dia telah memuat naik video membantu seorang warga emas di sebuah pam minyak sekitar waktu maghrib.
Pada awalnya, lelaki tua yang sudah sedikit bongkok dan tangan berbalut itu telah bertanyakan waktu azan maghrib untuk menunaikan solat.
Sementara menunggu, pengguna TikTok itu sempat berbual dengan pakcik itu. Menurutnya, warga emas terbabit bertanyakan kepadanya mesin ATM berhampiran yang boleh mengeluarkan RM30 untuknya membeli minyak hitam motosikal.

Tambah Zulfitri, rupanya lelaki itu sudah menunggu anaknya yang berada di universiti sejak pukul 5 petang untuk memasukkan sedikit wang yang dipinjam dari kawannya di tempat belajar kerana dia juga tidak mempunyai duit.
Mendengar perkara itu, pengguna TikTok berkenaan telah menawarkan untuk membantunya walaupun beberapa kali ditolak.

Rupanya, pakcik tersebut baru sahaja pulang dari melawat isterinya yang menghidap kanser tahap 3 di Hopital Tentera Wangsa Maju.
Warga emas itu juga mempunyai 4 orang anak dan 3 daripadanya sedang berada di universiti tempatan dan seorang lagi masih bersekolah.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengucapkan terima kasih dengan tindakan Zulfitri kerana segera membantu pakcik berkenaan yang sangat memerlukan bantuan.
Mereka juga mendoakan agar segala urusan pakcik dan pengguna TikTok itu dipermudah serta berharap agar anak-anak warga emas berkenaan belajar bersungguh-sungguh di universiti supaya dapat membantu keluarga.






Walau bagaimanapun, pengguna Tiktok itu sempat menjelaskan yang pakcik terbabit sama sekali tidak meminta bantuan orang ramai ataupun mengatakan dirinya dalam keadaan sukar. Boleh jadi ketika sahaja dia memerlukan pertolongan disebabkan masalah yang dihadapi.
Sumber: TikTok @zulfitribasir




