ALLAH S.W.T memerintahkan orang beriman supaya menunaikan solat lima waktu iaitu solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kita juga dituntut agar bangun pada waktu malam untuk menunaikan solat sunat Tahajud atau qiamullail. Solat sunat Tahajud merupakan salah satu amalan yang besar nilai dan pahalanya di sisi Allah.
Advertisement
Allah juga mengajarkan satu doa (yang terkandung dalam ayat ke-80) kepada Rasulullah S.A.W sebagai panduan dan jalan keluar bagi masalah yang dihadapi. Apabila tekanan daripada Musyrikin Makkah kuat, Rasulullah mengarahkan para Sahabat supaya berhijrah ke Habsyah yang dipimpin oleh Ja’afar bin Abi Talib. Seramai lebih kurang 70 orang yang telah berhijrah manakala selebihnya masih berada di Makkah termasuklah Nabi dan Sayyidina Abu Bakar R.A.
Rasulullah sentiasa membaca doa tersebut dan akhirnya diperintahkan supaya Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah. Baginda mengajak sekali Sayyidina Abu Bakar untuk sama-sama berhijrah.
Semasa Baginda memasuki Makkah pada tahun ke-8 Hijrah, diperintahkan agar memecahkan semua berhala sebanyak 360 yang berada di sekeliling Kaabah. Ada berhala yang tercabut kepalanya. Lalu, Baginda menaiki untanya dan mengelilingi kawasan tersebut sambil memerhati. Baginda mencucuk kepala berhala itu dengan menggunakan lembing. Baginda membaca doa (yang terkandung dalam ayat ke-81) yang menunjukkan bahawa kebenaran Islam akan terserlah dan kebatilan akan lenyap sama sekali.
Al-Quran menjadi penawar rohani dan jasmani kepada orang beriman. Dalam aspek rohani, ia dapat mengubati pegangan yang bercanggah dengan agama seperti syirik dan mengubah sifat peribadi manusia seperti amanah, bertanggungjawab, adil, menghormati orang lain dan sebagainya. Dalam aspek jasmani pula, ayat-ayat al-Quran dapat mengubati penyakit. Ia adalah jauh lebih baik daripada jampi serapah yang boleh membawa kita kepada kesyirikan.
Ingatlah Allah ketika senang mahupun susah
وَاِذَآ اَنْعَمْنَا عَلَى الْاِنْسَانِ اَعْرَضَ وَنَاٰ بِجَانِبِهٖۚ وَاِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ كَانَ يَـُٔوْسًا
“Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia, nescaya dia berpaling dan menjauhkan diri dengan sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan, nescaya dia berputus asa.”
(al-Israk: 83)
Kebiasaannya, manusia yang memperoleh nikmat akan lupa diri dan tidak bersyukur. Apabila menjadi orang kaya, kita tidak mahu membayar zakat, bersedekah, mengerjakan umrah dan sebagainya. Ketika ditimpa kesusahan, kita berazam untuk melakukan sekian sekian, namun setelah sembuh, kita sudah lupa akan azam tersebut.
Merungut dan membangkitkan pelbagai persoalan ketika menghadapi kesusahan adalah satu tanda bahawa kita sudah berputus asa dengan qada’ dan qadar-Nya. Dua sifat yang tercela adalah tidak mengingati Allah ketika senang dan berputus asa ketika susah.
Menurut ulamak, cara bagi mengelakkan daripada sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut:
1. Apabila kita senang, ingatlah Allah dan bersyukur iaitu menggunakan nikmat-Nya dengan cara yang betul. Contohnya;
a) Membelanjakan harta melalui zakat dan sedekah.
b) Menolong orang yang berada dalam kesusahan.
c) Beribadah dengan baik apabila tubuh badan kita sihat. Rajin menunaikan solat lima waktu dan jika kita tidak mampu bangun malam, sekurang-kurangnya tunaikanlah solat sunat sekali-sekala.
d) Beramal dengan ilmu yang kita perolehi setakat yang mampu dan menyebarkannya melalui mengajar, penulisan atau boleh selitkan dalam perbualan biasa
2. Apabila susah, kita perlu lebih banyak dalam mengingati Allah. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Allah memberikan kita pelbagai bentuk kesusahan, antaranya adalah;
a) Membersihkan dosa-dosa kita. Kita mempunyai terlalu banyak dosa. Mengharapkan yang kita akan memohon keampunan daripada-Nya, agak sukar kerana mungkin kita berasa tidak bersalah. Jadi, kesusahan yang menimpa itu adalah bertujuan untuk menyedarkan kita. Ada satu kisah seorang alim yang meninggalkan rumahnya berbulan-bulan. Rumahnya dimasuki oleh pencuri sehingga lesap semua barangnya. Disebabkan oleh kealimannya, beliau berpesan kepada isterinya supaya tidak memberitahu kepada sesiapa kerana berkemungkinan bahawa sebab kejadian itu adalah kerana mereka kurang bersedekah.
b) Menaikkan kedudukan kita agar semakin dekat dengan-Nya. Para Nabi dan orang soleh adalah orang-orang yang lebih berat ujiannya. Sebagai contoh, Nabi Ayub diuji dengan penyakit kulit yang susah diubati sehingga ditinggalkan oleh anak. Terpaksa keluar daripada kampung halaman dan tinggal di dalam gua serta ditemani oleh isterinya. Akhirnya, penyakitnya sembuh dengan kehebatan air yang keluar dari tanah yang diminum dan digunakan untuk mandi. Nabi Ayub diuji sedemikian sesuai dengan keimanannya walaupun kita sedia maklum bahawa Nabi adalah maksum iaitu tidak mempunyai dosa.
Maka, apabila berdepan dengan sesuatu musibah, elakkanlah daripada mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan dan mengeluh. Percayalah bahawa setiap yang berlaku mesti ada sebab. Sekiranya disebabkan oleh dosa kita, maka beristighfarlah dan berharap agar Allah mengampunkan segala dosa kita dan menggantikannya dengan yang lebih baik. Tetapi sekiranya disebabkan oleh kedudukan, maka bertasbihlah kerana mentakdirkan perkara yang baik kepada kita.
Salahkan qada’ dan qadar? Pilihan ada di tangan kita
قُلْ كُلٌّ يَّعْمَلُ عَلٰى شَاكِلَتِهٖۗ فَرَبُّكُمْ اَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ اَهْدٰى سَبِيْلًا
“Katakanlah (Muhammad), “Setiap orang berbuat sesuai dengan pembawaannya masing-masing.” Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.”
(al-Isra’: 84)
Setiap manusia yang beriman atau tidak beramal untuk dirinya sendiri sama ada baik mahupun buruk. Jika ingin mengetahui tahap keimanan diri kita setara mana, maka kita nilailah sendiri. Untuk menilai orang lain pula, perhatilah perbuatannya, tutur katanya dan pembawaannya dalam masyarakat. Sebagai contoh, orang yang rajin menunaikan solat secara berjemaah, membaca al-Quran, membantu orang lain, tidak mengumpat atau memfitnah merupakan akhlak yang baik.
Setiap manusia akan melakukan sesuatu mengikut kebiasaannya. Sesetengah berpendapat bahawa orang yang meninggal dunia mengikut kebiasaannya dalam kehidupan. Oleh itu, berdoalah agar kita dimatikan dalam keadaan husnul khotimah bukannya suul khotimah.
Pengakhiran hidup kita adalah berdasarkan ilmu Allah. Ia bermakna bahawa Allah Maha Mengetahui akan kesudahan kita dan ia sudah pun tertulis di Luh Mahfudz. Ada sesetengah yang mengatakan bahawa kita tidak boleh menjadi orang baik kerana sudah tertulis bahawa kita ialah orang jahat. Hujah ini adalah salah sama sekali.
Sebab Allah menunjukkan dua jalan kepada kita iaitu sama ada kita mahu bersyukur atau tidak. Allah juga mengurniakan akal kepada kita untuk menilai perkara yang baik dan buruk. Jika berlaku sesuatu yang buruk, maka kita tidak boleh menyalahkan-Nya.
Sebagai contoh guru, ketika dia memerhatikan setiap anak muridnya, dia akan mula berkata yang muridnya itu tidak akan lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apabila anak murid itu betul-betul tidak lulus, adakah ia disebabkan oleh mulutnya atau perkara lain? Dia berkata sedemikian kerana dia sudah mengetahui akan kelakuan muridnya seperti tidak hadir ke sekolah, tidak menyiapkan kerja sekolah, tidur di dalam kelas, tidak menyiapkan latihan atau tidak hadir ujian peperiksaan. Maka, murid yang tidak lulus itu bukan disebabkan oleh mulut guru tetapi kelakuannya.
Begitu juga dengan qada’ dan qadar-Nya. Kalau ia sudah ‘terkunci’ menurut sangkaan kita, tiada gunalah Nabi dan Rasul serta akal fikiran. Di situlah adanya ikhtiar dan pilihan, jadi kita berhak memilih. Seandainya kita dimasukkan ke dalam neraka, kita tidak boleh menyalahkan-Nya. Begitu juga dengan guru kerana tiada guru yang inginkan anak muridnya tidak lulus dalam peperiksaan.
Walaupun Allah menginginkan kita semua masuk ke dalam syurga, namun pilihan ada di tangan kita. Oleh sebab itu, orang yang tidak siuman atau hilang akal, tidak dikenakan hukuman kepadanya. Justeru, kita boleh memilih dan menentukan jalan hidup kita sendiri.
Allah Maha Mengetahui dengan ilmu-Nya. Dia mengetahui hal yang lalu, semasa dan masa hadapan hatta sehingga hari kiamat. Berbeza dengan kita yang hanya mengetahui akan hal yang lalu dan semasa sahaja.
Ilmu Allah jauh lebih luas ibarat air di lautan
وَيَسْـَٔلُوْنَكَ عَنِ الرُّوْحِۗ قُلِ الرُّوْحُ مِنْ اَمْرِ رَبِّيْ وَمَآ اُوْتِيْتُمْ مِّنَ الْعِلْمِ اِلَّا قَلِيْلًا
“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai roh. Katakanlah, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu tidak diberi pengetahuan hanya sedikit.””
(al-Isra’: 85)
Ayat وَيَسْـَٔلُوْنَكَ menunjukkan bahawa ada orang yang berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan bertanya kepadanya. Hal ini membawa kepada Asbabun Nuzul iaitu sebab ayat itu diturunkan. Apabila ceritanya difahami, maka ia akan ditafsir dengan betul.
Misalnya pada masa dahulu, disiarkan dalam televisyen bahawa Arwah Tok Guru Nik Aziz ada menyebut perkataan ‘barua’. Orang yang tidak mengetahui cerita sebenar akan menganggap Tok Guru berkata buruk. Padahal ada sebab mengapa Tok Guru berkata sedemikian dan ia boleh didapati melalui kaset rakaman penuh.
Terdapat dua kisah menarik yang boleh kita telusuri, seperti;
1. Abu Lahab yang disumpah.
Celaka kedua-dua belah tangannya dan dirinya sendiri. Bunyinya macam kasar tetapi ada kisahnya yang tersendiri. Dalam sejarah, Nabi Muhammad S.A.W memanggil semua kabilah ahli keluarganya. Pada ketika itu, Rasulullah berada di atas Bukit Safa. Lalu, semua berhimpun dan gelisah kerana berfikir bahawa sesuatu yang besar akan berlaku.
Baginda pun mengajukan soalan yang bermaksud,
“Kalau aku memberitahu kepada kamu, di belakang bukit ini ada tentera berkuda yang mahu menyerang Kota Mekah, adakah kamu percaya?”
Jawab mereka,
“Percaya… sebab kamu (Muhammad) tidak pernah berbohong.”
Lalu, Baginda memberitahu lagi yang bermaksud,
“Hari ini aku ingin memberitahu, di hadapan kamu nanti akan ada azab yang pedih, bala dan hukuman yang berat kalau kamu tidak beriman dengan apa yang aku beritahu.”
Mereka berasa marah apabila Baginda menceritakan hal mengenai syurga, neraka dan hari akhirat. Lalu, Abu Lahab bangun dan berkata,
“Celaka kamu (Muhammad)! Inikah tujuan kamu memanggilku?”
Maka, memadailah sumpahan yang Allah berikan kepada kedua-dua tangan Abu Lahab dan dirinya sendiri. Oleh itu, apa sahaja komentar yang ingin dibuat, kita hendaklah melihat dan mengetahui cerita di sebaliknya terlebih dahulu yang disebut sebagai Asbabun Nuzul.
2. Orang perempuan tidak dilantik menjadi ketua.
Terdapat suatu Hadis yang bermaksud:
“Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik orang perempuan menjadi ketuanya.” [1]
Ketika Raja Parsi mangkat, pembesar-pembesar melantik anak perempuannya menjadi raja baharu kerana beliau tidak memiliki anak lelaki. Berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W. Baginda meresponnya dengan menyebut Hadis di atas. Berpunca daripada Hadis itu, mazhab kita tidak membenarkan orang perempuan dilantik menjadi ketua negara kecuali tiada langsung lelaki yang berkebolehan. Di Acheh, isteri kepada Raja Acheh yang mangkat dilantik menjadi Ratu kerana anak lelakinya masih kecil. Ada pendapat yang menyatakan bahawa wanita dibenarkan untuk dilantik menjadi Ketua Hakim Perbendaharaan bukan yang melibatkan kes jenayah.
Berbalik semula kepada orang yang menemui Baginda S.A.W. Apabila Islam tersebar di Madinah, orang Arab mencari orang Yahudi untuk memastikan sama ada lelaki yang mengaku dirinya Nabi (yakni Muhammad) itu betul atau tidak. Orang Yahudi itu menyatakan tiga perkara yang perlu ditanya kepada Nabi untuk memastikannya, iaitu mengenai Zulkarnain, Ashabul Kahfi (terkandung dalam Surah Al-Kahfi) dan roh (dalam ayat ini).
Pengetahuan mengenai roh hanya ada dengan Allah. Ia adalah sesuatu yang sulit dan di luar daripada sentuhan dan pandangan manusia. Allah sengaja menyembunyikan sesuatu hal kerana bertujuan untuk memberitahu bahawa ilmu manusia adalah terbatas.
Bahkan sains sendiri tidak dapat menghuraikan mengenai akal, cuma boleh menjelaskan mengenai fungsinya secara mekanikal sahaja. Begitu juga dengan jantung. Manusia boleh mencipta jantung namun ia tidak dapat bertahan dalam tempoh yang lama. Jantung kita ini bergerak selama 24 jam secara automatik, begitu juga dengan nyawa.
Kalau secara manual, mati cepatlah kita sebab kalau terkejut, tidak sempat nak bernyawa. Itu sebabnya Allah mencipta jantung kita yang automatik supaya terkejut macam mana sekalipun, jantung kita masih bergerak. Kalau melibatkan pembedahan jantung pula, jantung dikeluarkan dan disambung dengan sesuatu yang lain.
Betapa sedikitnya ilmu kita kalau nak dibandingkan dengan ilmu-Nya. Menelusuri kisah Nabi Musa A.S. Baginda merasakan ilmunya banyak kerana boleh bercakap secara langsung dengan Allah.
Nabi Musa pernah bertanya kepada Allah yang bermaksud,
“Sudah habiskah ilmu yang aku pelajari ini? Masih ada lagi ke?”
Lalu, Allah menjawab yang bermaksud,
“Kalau kamu ingin mengetahui ilmu yang ada pada-Ku dan yang Aku ajarkan kepadamu, pergilah kamu di tepi laut. Cedoklah air laut itu dan lihatlah banyak mana air yang melekat di tanganmu? Yang melekat itulah ilmu yang Aku beri kepadamu. Ilmu-Ku adalah yang ada di dalam laut itu.”
Inilah perbandingan antara ilmu manusia dengan ilmu Allah. Kita terlalu kecil. Janganlah sombong walaupun pakar sekian-sekian. Hakikatnya kita hanya pakar dalam bidang tertentu sahaja. Ada orang yang berhabis duit untuk menjalankan kajian mengenai ekor kucing. Tetapi dia tidak akan pakar mengenai ekor binatang lain seperti kambing atau lembu misalnya:
وَلَىِٕنْ شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِيْٓ اَوْحَيْنَآ اِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهٖ عَلَيْنَا وَكِيْلًاۙ
“Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), dan engkau tidak akan mendapatkan seorang pembela pun terhadap Kami.”
(al-Isra’: 86)
Allah S.W.T boleh memberi dan juga menghapuskan ilmu yang ada pada diri kita jika Dia berkehendak. Oleh sebab itu, kadang-kadang kita mengalami nyanyuk atau lupa ingatan.
Pepatah yang masyhur:
“Kelemahan atau kecacatan ilmu adalah lupa.”
Oleh itu, sama-samalah kita beringat kerana semua kelebihan yang ada adalah kurniaan-Nya seperti suara ‘sedap’. Kalau Allah ingin mengambilnya, berkemungkinan suara kita akan hilang. Oleh sebab itu, Qari atau Imam tidak makan pedas atau minum minuman berais kerana hendak menjaga suara:
اِلَّا رَحْمَةً مِّنْ رَّبِّكَۗ اِنَّ فَضْلَهٗ كَانَ عَلَيْكَ كَبِيْرًا
“Kecuali kerana rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya, karunia-Nya atasmu (Muhammad) sangat besar.”
(al-Isra’: 87)
Al-Quran kekal yakni dalam ingatan Nabi Muhammad S.A.W dan berada dalam hafalan para huffaz sebagai rahmat kepada Baginda dan kita semua. Kalau al-Quran hilang, kita tidak mempunyai apa-apa dalam hidup.
Antara tanda akhir zaman adalah hilangnya al-Quran. Menurut ulamak, ada yang berpendapat bahawa al-Quran akan hilang melalui tulisan mushaf. Ada juga yang berpendapat bahawa ia hilang kerana tiada orang yang menghafal.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 24 Oktober 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 28/10/2022
Rujukan:
[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 4425).




