Joniston terima sambutan baik penduduk Tuaran

Joniston terima sambutan baik penduduk Tuaran

bhnews@bh.com.my

TAMPARULI: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tuaran, Datuk Joniston Bangkuai percaya mampu menang dengan meraih undi daripada pengundi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kehendak penduduk daerah ini, yang jelas mahukan perubahan dan cenderung ke arah ingin diwakili parti tempatan yang ada di negeri ini.

Joniston terima sambutan baik penduduk Tuaran

“Justeru, saya mewakili parti gabungan tempatan GRS sentiasa faham mengenai cabaran yang perlu ditempuhi dalam menghadapi PRU15 ini dan sedaya upaya memenangi hati pengundi sehingga berjaya merampas Tuaran daripada pembangkang.

“Mengenai pengundi muda, saya faham pendirian mereka dan seperti kebanyakan pengundi tua, mereka juga mahukan kemajuan. Oleh itu, golongan muda dan tua berkongsi aspirasi yang sama,” katanya pada majlis perjumpaan penduduk di Kampung Sawah, di sini, petang ini.

Kira-kira 200 penyokong GRS hadir pada perjumpaan dalam keadaan hujan lebat itu. Turut hadir, Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Tamparuli, Datin Malianah Ugau dan Naib Presiden Parti STAR Sabah, Datuk Edward Linggu.

Pada PRU15, Joniston tekad merampas kerusi Tuaran daripada penyandang, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga bersaing dengan calon WARISAN, Joanna Sue Henley Rampas; calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muminin Kalingkong @ Norbinsha serta calon Bebas, Bobby Lewat dan Datuk Noortaip Suhaili.

Joniston berkata, rakyat mahukan pemimpin yang mempunyai hala tuju yang jelas, sekali gus ingin melihat anak muda berjaya dengan menggalakkan pembabitan mereka dalam kepemimpinan di peringkat komuniti.

Ketika melakukan tinjauan di pasar tamu Rabu Tamparuli, Joniston mengakui menerima sambutan positif daripada peniaga dan pengunjung pasar.

Beliau berkata, orang ramai mengambil peluang bersua dan bersembang dengannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Sehubungan itu, Joniston berharap pengundi Tuaran memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat mereka, sekali gus berjanji akan berusaha menunaikan kehendak mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top