Shahril Hamdan tetapkan lima KPI di Alor Gajah

Shahril Hamdan tetapkan lima KPI di Alor Gajah

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan menetapkan lima petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai manifesto bagi membolehkan masyarakat menilai prestasinya sebagai wakil rakyat, jika mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, lima KPI itu boleh diukur dalam tempoh enam bulan, setahun, empat tahun dan lima tahun.

“Saya mencadangkan lima KPI terletak di bahu saya. Yang pertama mampukah dalam tempoh menjadi Ahli Parlimen kita menambah peluang pekerjaan. Kedua mampukah saya menjadi Ahli Parlimen, kita meningkatkan pendapatan purata penduduk Alor Gajah.

“Ketiga, mampukah kita naik taraf infrastruktur, KPI keempat mampukah saya perkasakan akses dan kualiti pendidikan dan kelima mampukah saya menaikkan martabat kebudayaan serta adat semua lapisan masyarakat di Alor Gajah,” katanya kepada pemberita selepas Program Suara Hati Orang Muda Alor Gajah di Rembia, di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau  bercadang melaksanakan sesi dialog awam setiap dua atau tiga bulan.

Jelasnya, dalam sesi tersebut akan dibentangkan perkara yang berjaya atau gagal dilakukannya serta membolehkan masyarakat berdialog secara langsung.

“Saya rasa ini adalah satu pembaharuan yang perlu dilaksanakan sebagai calon muda dalam satu kepemimpinan, kalau saya diberi peluang menang PRU15 ini,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top