bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Tan Sri Annuar Musa membayangkan kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menanggung tanggungjawab besar untuk menguruskan ekonomi, kestabilan politik dan kewujudan peluang pekerjaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, hanya kerajaan yang memiliki pengalaman lama mentadbir seperti Barisan Nasional (BN) mampu menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada negara.
Namun, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ahli parlimen yang bakal menjadi kerajaan sudah parti akan berdepan cabaran apabila berada di Parlimen.
“Tahun 2023 ke hadapan bukan tahun biasa-biasa sebab kita akan membentuk kerajaan dalam suasana ekonomi dunia sangat mencabar, kadar inflasi tinggi dan kebanyakan negara berada dalam defisit besar akibat perbelanjaan di luar jangka sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
“Kalau kerajaan tidak mempunyai keupayaan dan pengalaman, maka kita akan mengulangi apa yang dilalui sepanjang selepas PRU14.
“Itu sangat merugikan rakyat. Maka saya merasakan BN boleh menawarkan kestabilan dan kemakmuran dan berdasarkan pengalaman yang ada pada saf pimpinan BN, itu jauh melebihi keupayaan mana-mana parti bertanding,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas berceramah dan berkempen bagi calon BN di Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat di Kampung Pulau Bahagia, malam tadi.
Sementara itu Annuar berkata, selepas tidak dipilih menjadi calon, beliau kini meneruskan tanggungjawab untuk membantu memenangkan calon BN pada PRU15.
Katanya, beliau mahu menggunakan peluang yang ada ketika ini untuk bergerak bebas membantu dan berkempen bagi pihak calon BN yang bertanding.
“Saya rasa jawatan bagi saya tak pentinglah, saya sudah lama, banyak pegang jawatan, bertanding sebanyak lapan penggal. Saya sudah menjadi menteri, empat portfolio dan jadi ahli Dewan Negara, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat, jadi saya tidak memikirkan soal jawatan.
“Pengalaman saya berada dalam kerajaan, saya terasa sekali cabaran bagi mereka berada di Parlimen dan juga orang membentuk cabaran akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd