bhnews@bh.com.my
KLUANG: Penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, memohon maaf di atas keterlanjuran kata-katanya yang seolah-olah mendakwa semua ahli UMNO bersikap sama seperti dua individu yang melakukan provokasi terhadapnya di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof hari ini.
Bekas Menteri Pendidikan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) itu, berkata tindakan itu mungkin mengguris hati penyokong UMNO dan berharap insiden provokasi seumpama itu tidak akan berulang kepada mana-mana pihak lagi selepas ini.
“Bagi calon UMNO sendiri Datuk Hasni ketika bertemu dengan saya, sama ada di pusat penamaan calon, di pasar malam, kami bergurau mesra, kami begitu profesional dan begitu ramai jentera UMNO yang saya saya kenali di peringkat Simpang Renggam, seperti Ketua Bahagian Datuk Oya.
“Ramai lagi jentera UMNO mereka begitu profesional, kami tiada masalah, di pihak saya saya memohon maaf kalau kata kata saya mengguris hati, penyokong UMNO apabila melakukan generalisasi terhadap pakcik yang sedang marah tersebut
“Ya apabila kita marah, kita hilang pertimbangan, jadi ia beri kita pengajaran kepada kita semua iaitu cuba kawal kemarahan dan kepada saya sendiri supaya berhati hati mengeluarkan perkataan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya malam ini.
Maszlee juga menasihati penyokong PH supaya tidak memberikan respon negatif yang sama dan mengingatkan bahawa semua rakyat Malaysia perlu hidup rukun, bersaudara serta memasuki gelanggang demokrasi dengan sikap profesional.
Terdahulu, Maszlee dihambur kata-kata kesat ketika menziarahi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Ithnin Maarof, di Simpang Renggam, hari ini.
Satu video klip tular di aplikasi Tik Tok memaparkan tindakan dua individu yang bersemuka dengan bekas Menteri Pendidikan itu mendakwa calon PH itu sebagai ‘kencing’ serta pembohong.
Dalam pada itu, Maszlee ketika menjelaskan insiden itu berkata, ini bukan kali pertama dia menziarahi mangsa banjir di PPS berkenaan sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di parlimen Simpang Renggam.
Katanya, hairan kerana dirinya tidak dibenarkan berbuat demikian pada Pilihanraya Umum ke-15 kali ini dan akur untuk bertemu mangsa banjir berkenaan di luar dewan.
“Ini boleh ditanyakan kepada penduduk kampung. Kampung berkenaan bukanlah asing kepada saya pergi banyak rumah ke rumah, menyampaikan bantuan ketika COVID, kita pernah menganjurkan program sepak takraw di situ dan juga melawat ladang nanas, juga di Pejabat Risda itu biasa, dan ramai yang mengenali.
“Jadi saya terpaksa memanggil lima keluarga tersebut, yang berada di dalam untuk keluar dan mengambil gambar, kerana mereka biasa bergambar dengan saya, dan mereka gembira, untuk merakamkan gambar tersebut,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun beliau sudah memaafkan tindakan dua individu berkenaan kerana manusia sentiasa membuat kekhilafan.
© New Straits Times Press (M) Bhd