Langkah Sheraton: Kesavan dakwa ditawar wang, jawatan menteri untuk tinggalkan PKR

Langkah Sheraton: Kesavan dakwa ditawar wang, jawatan menteri untuk tinggalkan PKR

bhnews@bh.com.my

SUNGAI SIPUT: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, mendedahkan pernah ditawar sejumlah wang selain kedudukan sebagai menteri untuk keluar meninggalkan PKR ketika Langkah Sheraton digerakkan pada 2020.

Dakwaan Kesavan itu menyusul beberapa hari selepas penyandang kerusi Parlimen Batu, P Prabakaran, juga dari PKR mendakwa ditawarkan sejumlah wang untuk menyertai MIC.

Kesavan yang juga penyandang kerusi Parlimen Sungai Siput berkata, keadaan dihadapinya itu berlaku sewaktu Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH dijatuhkan pemerintahan didominasi BERSATU, UMNO dan PAS yang kini dijenamakan sebagai Perikatan Nasional (PN).

Langkah Sheraton: Kesavan dakwa ditawar wang, jawatan menteri untuk tinggalkan PKR

Katanya, ketika itu beliau dijemput keluar parti bersama 11 lagi ahli Parlimen PKR lain, namun beliau tidak mendedahkan secara terperinci identiti individu yang membuat tawaran itu kepadanya.

“Apabila berlaku Langkah Sheraton, 11 ahli Parlimen mengkhianati PKR dan BERSATU juga mengkhianati PH dengan keluar untuk membentuk kerajaan PN.

“Ketika itu, ada pemimpin mengajak saya berpaling tadah dan memberitahu saya boleh dapat jawatan menteri atau timbalan menteri, atau jika tidak mahu kedua-duanya, mereka akan tawarkan saya RM10 juta atau RM20 juta.

“Mereka cuba mempengaruhi saya, tetapi saya tidak akan khianat parti. Saya tidak akan mengkhianati PH dan saya tidak akan mengkhianati rakyat Sungai Siput yang menyokong saya pada 9 Mei 2018 (sewaktu PRU14),” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan ratusan hadirin sewaktu berpidato sempena kempen jelajah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Orkid, di sini, petang tadi.

Pada Februari 2020, media melaporkan 11 ahli Parlimen PKR keluar parti dan meninggalkan PH bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Mereka ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat).

Selain itu, Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Dalam pada itu, Kesavan mengakui situasi itu ibarat ujian buatnya, namun menegaskan tidak pernah gilakan kuasa, kedudukan serta wang ringgit selain menganggap keputusannya untuk kekal bersama PH berjaya mempertahankan maruah dengan tidak berpaling tadah bagi memenuhi hasrat politik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top