am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan mengenal pasti lebih 500 lokasi ‘hot spot’ atau kawasan panas sering berlakunya bencana banjir.
Timbalan Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata, antara lokasi tumpuan banjir
termasuklah Kampung Tersang dan Kampung Gual To’ Deh masing-masing di Rantau Panjang serta Kampung Temila di Pasir Puteh.
Katanya, tumpuan diberikan di daerah Rantau Panjang kerana kerap berlakunya kejadian banjir berulang termasuk beberapa kawasan rendah yang mudah terdedah kepada banjir kilat.
“Pengalaman Disember lalu memberi kesan terhadap ramai penduduk dan kediaman yang tidak pernah banjir turut ditenggelami banjir.
“Pihak kami akan meningkat tahap rondaan membabitkan anggota dari balai berdekatan apabila hujan lebat melanda kawasan ‘hot spot’ secara berterusan.
“Walaupun keadaan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu, pihaknya sentiasa dalam keadaan yang bersiap siaga dan berharap tidak ada insiden banjir besar melanda pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Rondaan Sempena Musim Perayaan Tahun 2023 di Pasaraya Aeon, di sini, hari ini.
Tambah Anwar, pada masa sama, aset tambahan iaitu bot yang sebelum ini berjumlah 42 kini bertambah kepada 50 termasuk bantuan daripada JBPM Terengganu yang akan digunakan bagi tujuan operasi menyelamat mangsa banjir.
“Selain itu, anggota juga akan ditambah di lokasi tumpuan banjir dan sekiranya banjir gelombang ketiga yang luar di luar jangkaan, cuti kesemua anggota akan dibekukan serta merta.
“Dalam masa sama, penduduk juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah bersiap sedia apabila keadaan hujan berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd