Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi empat warga tempatan yang menggunakan teksi untuk mengedar dadah, Rabu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, empat lelaki termasuk pemandu teksi berusia 34 hingga 58 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang jam 4 petang dan merampas dadah bernilai RM3.42 juta.
Menurutnya, susulan penahanan mereka polis kemudian menyerbu sebuah kondominium dan rumah di Kepong dan merampas pelbagai dadah.
“Antara dadah yang dirampas adalah heroin seberat 31,175 gram, ketamin seberat 10,127 gram, methamphetamine (2,497 gram) ecstacy (930 gram) dan 400 biji pil eramin 5.
“Pemeriksaan di dalam kondominium itu turut menemui sepucuk pistol jenama Norinco buatan China, kelopak peluru dan 23 butir peluru .9 milimeter dan wang tunai RM11,792,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Saiful Azly berkata, kedua-dua kediaman terbabit dijadikan stor simpanan dadah oleh sindiket itu.
“Pemandu teksi terbabit pula menggunakan pengangkutan awam untuk mengedar dadah malah ketika ditahan turut menemui dadah disembunyikan dalam but kereta.
“Siasatan mendapati sindiket ini bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah methamphetamine manakala dua lagi negatif.
“Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau kes dadah dan jenayah.
“Mereka ini juga penjenayah tegar dan sudah beberapa kali ditahan namun dengan penahanan ini kita berjaya menumpaskan sindiket dadah warga tempatan,” katanya.
Katanya, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 80,129 pengguna dan nilai keseluruhan rampasan dadah, wang tunai serta kereta adalah RM3.47 juta.
“Suspek direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman seminggu bagi membantu siasatan bermula Khamis lalu.
“Kita juga sedang menyiasat pemilik pistol terbabit,” katanya.




