sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Bakat muda skuad Bawah 23 (B-23) tahun Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Muhammad Adam Mukriz Syamsul Ariffin menganggap panggilan bersama skuad B-23 kebangsaan sebagai medan terbaik untuk menggilap dan mengembangkan bakatnya di masa depan.
Mendapat bimbingan Ketua Jurulatih, Rosle Md Derus di Kedah, pemain sayap berusia 19 tahun itu antara pemain termuda dalam senarai 25 pemain dipilih untuk menyertai kem latihan pusat B-23 bermula hari ini hingga 19 Februari dalam persiapan menghadapi Sukan Sea 2023 di Kemboja, Mei depan.
Menurut Adam Mukriz, semangatnya terus melonjak sebaik namanya diumumkan berada dalam senarai 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat selama enam hari di bawah kendalian E Elavarasan itu.
“Saya rasa teruja, gembira dan memang terkejut apabila nama berada dalam senarai ini dan ini kali pertama saya mendapat peluang bersama skuad junior negara.
“Sudah pasti, saya mahu manfaatkan peluang terbaik ini dengan membuktikan segala kemampuan yang ada.
“Pada masa sama, saya bersyukur kerana mendapat panggilan ini dan bertekad untuk lakukan usaha terbaik untuk pasukan negara dengan sokongan jurulatih, keluarga dan rakan sepasukan.
“Insya-Allah, saya mahu membuktikan kemampuan diri bersama pasukan negara nanti,” yang diwakili ramai lagi pemain yang berbakat yang dipilih itu nanti,” kata pemain sayap KDA FC B yang pernah menimba pengalaman bersama skuad Belia dan Sukma Kuala Lumpur itu.
Dia menjadikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid sebagai idolanya kerana bermain di posisi sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




