Mendiang kelihatan macam ada masalah – waris

Mendiang kelihatan macam ada masalah – waris

am@hmetro.com.my

Georgetown: “Mendiang seperti ada masalah namun tidak menceritakannya kepada sesiapa,” kata waris terdekat anggota polis yang meninggal dunia dengan tiga kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas di sini, semalam.

Menurut lelaki itu, mendiang Sarjan Jana Milie, 51, adalah seorang yang tegas tetapi suka bergurau namun beberapa hari lalu dia kelihatan seperti mempunyai masalah.

Katanya, pada hari kejadian, mendiang sempat bertemu dengan anak lelakinya di rumah sebelum ke tempat kerja isteri yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Balik Pulau.

“Mendiang kemudian ke balai polis tempat dia bertugas sebelum ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan.

“Mendiang juga pernah menyatakan hasrat membawa keluarganya pulang ke Sri Aman, Sarawak pada cuti sekolah ini dan kali terakhir mereka pulang ke kampung ialah pada Disember lalu menyambut Krismas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Difahamkan mendiang sudah 32 tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan ditukarkan ke balai polis berkenaan lebih setahun lalu selepas dinaikkan pangkat.

Sementara itu, tinjauan mendapati isteri dan anak lelaki mendiang serta beberapa ahli keluarga turut berada di perkarangan Unit Forensik HPP sejak jam 9 pagi bagi menanti proses bedah siasat dan menuntut mayat.

Difahamkan isteri dan anak bongsu itu tinggal di Pulau Pinang bersama mendiang sejak lebih setahun lalu manakala dua lagi anaknya menetap di Sri Aman.

Usaha menemubual isteri mendiang tidak mendapat kebenaran anggota polis bertugas kerana keadaannya yang masih bersedih.

Difahamkan jasad dijangka disemadikan di kampung halamannya di Sri Aman.

Semalam, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mendiang yang bertugas di balai polis berkenaan ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan di leher, dada dan kepala.

Sepucuk pistol turut ditemukan bersama mangsa ketika kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top