Wakaf Air: RM2.4 juta berjaya dikutip

farid_noh@bh.com.my

KULAI: Sebanyak RM2.4 juta berjaya dikutip Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) hasil sumbangan orang awam dan badan korporat sejak dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata projek pertama wakaf air di Johor membabitkan 16 penerima di kawasan Kampung Melayu Seelong, Kulai dengan kos berjumlah RM34,776.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan membabitkan penyambungan sistem retikusi Taman Impian Jaya Seelong dan ditakung dalam tangki sedutan berkapasiti 500 gelen sebelum dipam ke tangki pengimbang, seterusnya disalurkan ke rumah penduduk kampung.

“Projek wakaf air di Kampung Melayu Seelong ini bermula pada 11 Febuari dan siap sepenuhnya pada 4 Mac lalu. Oleh itu pada hari ini, kita serahkan projek ini kepada penduduk agar masalah bekalan air yang dihadapi mereka dapat diselesaikan.

“Saya dimaklumkan penduduk kampung membabitkan 16 rumah bergantung kepada sumber air tidak terawat iaitu air telaga, anak sungai dan tadahan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan kepada penerima Wakaf Air di Kampung Melayu Seelong Kulai di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, sepanjang Mac dan April tahun ini, pihaknya sudah menyerahkan empat lagi projek perintis Wakaf Air kepada penerima di Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

“KASA meminta masyarakat terus menyumbang bagi membolehkan lebih ramai pihak menikmati manfaat tabung Wakaf Air tanpa mengira agama dan keturunan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top