Isma Halil menangis di kandang tertuduh

Isma Halil menangis di kandang tertuduh

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Ayah tak boleh balik lagi, ayah tak boleh balik lagi”.

Itu ayat yang keluar daripada mulut penyampai radio, Isma Halil Hamzah, sebaik Mahkamah Tinggi, di sini, mengarahkan dia membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, dua tahun lalu, hari ini.

Isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, atau Linda ketika ditemui berkata, suaminya di kandang pesalah dilihat menangis kerana tidak menjangka akan menerima keputusan ini.

“Masa itu saya pun dah tak tahan tengok muka dia. Memang sangat-sangat sedih. Menerusi kumpulan WhatsApp keluarga, saya diberitahu ibu suami yang berusia 80-an termenung mendengar keputusan ini.

“Ibunya setiap pagi dan malam bacakan surah Yasin mendoakan Isma dengan harapan dia dibebaskan. Namun apakan daya keputusan ini yang diperoleh,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Menurutnya, Isma ada menghubunginya Sabtu lalu dengan nada ceria kerana menyangka akan dibebaskan hari ini.

“Namun pada masa sama, perasaan kami berdua tetap berdebar-debar kerana bimbang juga dengan pelbagai kemungkinan.

“Pagi ini pun saya dah masak dengan harapan nanti balik rumah kawan-kawan datang boleh makan sekali. Masak banyak juga dan sediakan asam pedas tetel kegemarannya. Sebenarnya saya mulanya bercadang nak bagi dia ‘junk food’ (makanan segera) sikit-sikit dan ingat tak mengapalah nanti balik makan di rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun Linda tergerak hati untuk membungkuskan sedikit makanan ini untuk suaminya.

“Rupanya apa yang terdetik dalam hati saya itu betul. Setiap kali datang mahkamah saya akan bawa apa masakan yang dia suka.

“Sekurang-kurangnya dapatlah dia merasa lain sikit dari makanan di penjara. Sebelum keputusan dibacakan saya sempat salam dan berbual dengannya. Nampak dia ceria dan seronok tengok ramai yang datang beri sokongan kepadanya,” katanya.

Sementara itu, mahkamah juga bersetuju tarikh prosiding bela diri ditetapkan pada 30 dan 31 Mei ini selepas dicadangkan peguam bela, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Tarikh itu sekali gus membuatkan Isma Halil terpaksa menyambut Aidilfitri yang jatuh pada 22 April di dalam penjara.

Linda berkata, dia reda dengan keputusan itu walaupun terpaksa meraikan Aidilfitri buat kali kedua tanpa suami di sisi.

Dalam pada itu, suasana di mahkamah ‘meriah’ dengan kehadiran rakan-rakan artis dan peminat Isma Halil yang hadir memberi sokongan.

Antaranya ialah dR Sam, Uchop Ahmad serta peminat yang datang dari Kedah, Johor dan Melaka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top