Hanya 82 ahli Seniman daftar skim khas Perkeso 

Hanya 82 ahli Seniman daftar skim khas Perkeso 

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyangkal dakwaan mereka tidak berbuat apa-apa bagi membantu ahli yang mengalami kemalangan ketika bekerja.

Ia berikutan insiden yang berlaku terhadap pelakon Fasha Sandha semasa menjalankan penggambaran di Johor semalam. 

   Setiausaha Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pihak Seniman sedia maklum dengan isu terbabit.

   “Seniman ingin memaklumkan bahawa selama ini banyak inisiatif-inisiatif dan dasar yang dilakukan untuk ahli-ahli Seniman,” katanya menerusi kenyataan media.

  Menurutnya, Seniman sudah bekerjasama dengan Perkeso sejak tahun 2020 lagi secara rasmi. 

   “Dalam kerjasama ini Seniman dilantik menjadi agen tunggal untuk kategori seni budaya ketika rundingan antara dua pihak sejak tahun 2019. 

   “Sejak 2021 sehingga hujung 2022, melalui data Seniman hanya 82 orang sahaja ahli Seniman yang berdaftar dibawah skim khas Perkeso ini,” katanya. 

   Hafiz berkata, sejak kerjasama ini terjalin, lebih 10 ahli Seniman sudah mendapat bantuan dan faedah daripada Skim Keselamatan Sosial Perkerjaan Sendiri (SKSPS) ini. 

   Seniman juga berharap dengan kejadian ini akan lebih ramai ahli Seniman mengetahui mengenai Skim Keselamatan Sosial Perkerjaan Sendiri inisiatif antara Seniman dan Perkeso ini. 

   “Semoga lepas ini lebih ramai ahli-ahli Seniman yang datang untuk mendaftar didalam skim ini di pejabat Seniman,” katanya. 

   Terdahulu Fasha mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran drama berjudul Anak Tuan di Johor, semalam.

   Menerusi kenyataan yang dimuat naik di  akaun Instagramnya oleh pihak pengurusan, tulang mata kirinya patah selain bebola mata bengkak selepas terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan babak bersama pelakon Azhan Rani.

   Fasha turut dikejarkan ke sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top