bisnes@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Amazon Web Services (AWS) memilih Malaysia untuk membuka kemudahan serantau baharunya bagi memenuhi permintaan tinggi pelanggan besar di negara ini yang memerlukan infrastruktur tambahan bagi menyimpan data.
Antara pelanggan AWS di Malaysia termasuk Petronas, Axiata Group, Bank Islam Malaysia, CelcomDigi, Johor Corporation dan PayNet.
Selain itu, terdapat organisasi sektor awam tempatan yang menjadi pelanggan AWS termasuk Cybersecurity Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Pengarah Urusan Serantau Sektor Awam Seluruh Dunia di Asean AWS, Eric Conrad berkata, pelanggan menyatakan keperluan infrastruktur tambahan berkenaan bagi menyokong keperluan perniagaan masing-masing.
Katanya, AWS melihat pemecutan ketara dalam fasa pengadaptasian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Malah, permintaan daripada pelanggan yang mahu data mereka lebih dekat juga semakin meningkat dan terdapat kes ia (data lebih dekat) menjadi syarat keperluan.
“Jadi, kami mengikuti permintaan mereka dan membuat penetapan bahawa ini waktu sesuai melabur dalam infrastruktur di sini,” katanya pada taklimat media Kemas Kini Utama Perniagaan: AWS Malaysia di sini, semalam.
Infrastruktur serantau AWS baharu itu memberi pembangun, pemula, usahawan dan perusahaan, serta kerajaan, pendidikan dan organisasi tidak berasaskan keuntungan, pilihan lebih baik untuk menjalankan aplikasi mereka dan memberi perkhidmatan kepada pengguna akhir daripada pusat data di Malaysia.
Sementara itu Naib Presiden Perkhidmatan Infrastruktur di AWS, Prasad Kalyanaraman berkata, infrastruktur serantau baharu AWS itu mencerminkan komitmen mendalam dan jangka panjang mereka kepada pelanggan dan organisasi di negara ini.
Katanya, ia juga komitmen AWS untuk melayani permintaan besar dan berkembang pesat bagi perkhidmatan awan di seluruh Asia Tenggara.
“Kami berbangga untuk menyokong transformasi digital Malaysia dengan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan tertinggi yang tersedia pada infrastruktur awan AWS.
“Kami berharap dapat membantu institusi, syarikat permulaan dan syarikat Malaysia menyampaikan aplikasi berkuasa awan untuk memacu pembangunan ekonomi di seluruh negara dan merangsang penciptaan pekerjaan, latihan kemahiran dan peluang pendidikan dalam komuniti di sekitar pusat data kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




