ATHENS – Angka kematian akibat nahas kereta api di Greece pada Selasa lalu meningkat kepada 57 orang manakala 88 orang cedera, di Tempi, berhampiran bandar Larissa.
Perkhidmatan penumpang yang membawa 350 orang bertembung dengan kereta api barang menjelang tengah malam pada hari Selasa selepas kedua-duanya bertembung di landasan yang sama dan menyebabkan gerabak hadapan terbakar.
Kira-kira 350 orang berada di dalam kereta api penumpang, yang dalam perjalanan dari Athens ke Thessaloniki, menurut pengendali kereta api Greece Hellenic Train.
Kereta api penumpang itu bergerak pada kelajuan kira-kira 103 batu sejam apabila ia bertembung dengan kereta api barang, menurut Perkhidmatan Bomba Hellenic.
Stesen televisyen Kerajaan Greece melaporkan kedua-dua kereta api itu berjalan di laluan yang sama selama 12 minit, atau jarak kira-kira 11 batu.
Insiden ini berlaku ketika mogok pekerja kereta api termasuk kereta api bawah tanah bermula pada 6 pagi waktu tempatan (04:00 GMT).
Banyak pihak berpendapat, nahas ini telah sampai masa untuk berlaku kerana menyifatkan sektor pengangkutan ini sudah diabaikan oleh kerajaan.
Menteri Pengangkutan Kostas Karamanlis meletak jawatan susulan nahas itu dan berkata beliau akan bertanggungjawab di atas “kegagalan berpanjangan” pihak berkuasa untuk membaiki sistem kereta api yang tidak sesuai untuk Abad ke-21.
Kebanyakan penumpang di dalam kereta api itu adalah pelajar berusia 20-an yang kembali ke Thessaloniki selepas hujung minggu yang panjang.
Media tempatan melaporkan 10 lagi penumpang masih hilang.
Seorang pengurus stesen berdepan pertuduhan membunuh susulan perlanggaran kereta api berkelajuan tinggi, kata peguamnya Khamis.- Agensi




