Anggota polis kena saman, cuai ketika memandu

Anggota polis kena saman, cuai ketika memandu

harisfadli@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pemandu kereta peronda polis (MPV) dikenakan saman selepas membuat pusingan U di Jalan PJS 3/9, di sini hingga berlaku kemalangan, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota berkenaan sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum berlaku kemalangan itu pada 12.18 tengah hari.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila MPV jenis Honda Civic dipandu di lorong kiri membelok ke kanan untuk membuat pusingan U.

“Sebuah Perodua Myvi yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan saman dikenakan terhadap anggota polis berkenaan atas kecuaian semasa memandu.

“Pihak polis menasihatkan semua pengguna supaya tidak melanggar peraturan jalan raya yang boleh membahayakan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top