Hapuskan mitos ubat hospital punca kerosakan buah pinggang

Shah Alam: Masih ada segelintir masyarakat berpegang kepada kepercayaan bahawa mengambil ubat-ubatan diberi pihak hospital dalam tempoh panjang akan menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Justeru ada pesakit bertindak berhenti daripada mengambil ubat dibekalkan pihak hospital untuk merawat penyakit mereka dan memilih untuk mengambil ubat alternatif termasuk suplemen yang tidak diketahui kandungan bahan serta kesan sampingan ada di dalamnya.

Pakar Perunding Nefrologi, Pusat Perubatan Sultan Ahmad [email protected], Dr Wan Ahmad Syahril Rozli Wan Ali berkata, satu pemahaman salah daripada orang awam apabila terdapat keperluan untuk mengambil ubat-ubatan, tetapi dikaitkan pula dengan ubatan itu sendiri akan merosakkan buah pinggang.

“Tidak dinafikan, ada sesetengah ubatan moden boleh menjejaskan fungsi buah pinggang contohnya ubat penahan sakit seperti “Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs” (NSAIDs) dan ubatan-ubatan lain seperti antibiotik tertentu.

“Namun begitu semua ubat dipreskripsikan doktor seperti ubat untuk kencing manis, darah tinggi dan penyakit kronik lain biasanya telah menjalani kajian mendalam bagi mengetahui dos selamat serta kesan sampingan dan interaksinya dengan ubatan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebaliknya, Dr Wan Ahmad Syahril berkata, walaupun di Malaysia tiada kajian secara menyeluruh menyatakan bahawa pengambilan suplemen akan menjejaskan fungsi buah pinggang, namun ketika melaksanakan rawatan dan tugasan seharian, pihaknya kerap menemukan kes pesakit yang mengalami masalah buah pinggang setelah mengambil suplemen dari luar.

Beliau berkata, ada sebahagian pesakit itu yang langsung tidak mempunyai apa-apa risiko kegagalan buah pinggang, sebelum pengambilan suplemen berkenaan.

“Kebanyakan suplemen dijual di pasaran tidak mempunyai kajian menyeluruh tentang kesan sampingan serta interaksinya dengan ubatan lain.

“Kadang kala, bahan pengawet digunakan dalam ubatan suplemen itu boleh menimbulkan masalah terhadap fungsi buah pinggang,” kata beliau.

Dr Wan Ahmad Syahril berkata, mengikut statistik pendaftaran dialisis dan pemindahan buah pinggang di Malaysia pada 2018, terdapat sejumlah 8,431 pesakit dialisis baharu dengan seramai 44,136 pesakit sedang menjalani rawatan dialisis disebabkan kegagalan buah pinggang.

Katanya, pesakit buah pinggang di Malaysia merangkumi 55 peratus daripada golongan lelaki dan 45 peratus kaum wanita dengan majoriti daripada mereka berumur 55 tahun dan ke atas.

“Menurut statistik punca utama kegagalan buah pinggang di Malaysia adalah disebabkan penyakit kencing manis, iaitu sebanyak 69 peratus, yang makin meningkat peratusannya dari tahun ke tahun.

“Mereka yang mengamalkan gaya hidup merokok turut berisiko mengalami kerosakan buah pinggang,” katanya.

Scroll to Top