ProSPEC U.n.i Farmasi cecah nilai jualan RM4.6 JUTA

ProSPEC U.n.i Farmasi cecah nilai jualan RM4.6 JUTA

KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) U.n.i Farmasi yang memulakan operasi pada Julai 2020 telah mencapai nilai jualan mencecah RM4.6 juta selain memberi 50 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dilancarkan pada September 2019 telah berjaya membangunkan 10 farmasi dalam tempoh setahun dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan profesional khususnya dalam bidang kesihatan untuk memiliki farmasi sendiri.

“Peserta yang terpilih untuk menyertai program ini akan disokong dengan kemudahan pembiayaan dengan had maksimum sehingga RM500,000 untuk membuka farmasi.

“Sehingga Disember lalu, sejumlah RM3.54 juta dana pembiayaan disalurkan untuk pembukaan 10 U.n.i Farmasi,” menurut kenyataan itu.

ProSPEC adalah program yang dibangunkan bagi meningkatkan penyertaan usahawan serta pegangan ekuiti Bumiputera dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, senibina dan juruukur bahan.

Program itu juga memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan Tinggi MARA (IPMA), Universiti Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) khususnya pelajar tajaan MARA untuk menceburi bidang perniagaan.

Selain itu, MARA menerusi program ProSPEC berjaya membangunkan 35 rangkaian U.n.i Klinik dan sedang membangunkan U.n.i Dental bagi meneruskan usaha membangunkan usahawan dalam bidang profesional.– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top