UDA terbit Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilion

UDA terbit Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilion

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd (UDA) menerbitkan Sukuk Wakalah pertamanya bernilai RM1 bilion.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, berkata langkah UDA menerbitkan Sukuk Wakalah untuk kali pertama ini adalah tepat pada masanya.

Beliau berkata, ini adalah berdasarkan kepada peralihan negara ke fasa pemulihan ekonomi yang kini menekankan kepada aspek kelestarian perniagaan.

Katanya, penerbitan Sukuk Wakalah ini juga menjadi sejarah penting kerana UDA menjadi organisasi pertama yang menggunakan definisi Pelaburan Mampan Dan Bertanggungjawab (SRI) untuk projek pembangunan hartanah wakaf.

“Usaha menerbitkan Sukuk Wakalah ini adalah seiring dengan tema, ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang secara spesifiknya merujuk kepada salah satu daripada empat teras strategik utama yang disenaraikan iaitu, ‘Membina Semula Ekonomi.’

“Kejayaan menerbitkan Sukuk Wakalah ini akan memastikan kelangsungan atau kemampanan UDA untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,” katanya pada majlis pelancaran Sukuk Wakalah UDA di sini, kelmarin.

UDA terbit Sukuk Wakalah pertama bernilai RM1 bilionSaraswathy bersama Mohd Salem melawat tapak pameran pada pelancaran Sukuk Wakalah UDA, kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KUSKOP, Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UDA, Datuk Mohd Salem Kailany.

UDA yang juga agensi di bawah KUSKOP adalah peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

Mengulas lanjut, Benedick berkata, KUSKOP sentiasa memantau 10 agensi di bawahnya dalam melaksanakan amanah yang diberikan dengan menjalankan operasi secara berdikari dan bantuan minima dari segi dana kewangan.

Beliau berkata, program Sukuk Wakalah ini juga dapat menjana sumber kewangan yang mampu memastikan kelestarian agar UDA dapat terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

Tadbir organisasi dengan baik

Ini katanya menunjukkan, pasukan pengurusan dan tenaga kerja UDA sudah berjaya mentadbir organisasi berkenaan dengan baik dan bertunjangkan aspek komersial.

Malah, sebagai negara yang diiktiraf menjadi peneraju pembangunan kewangan Islam pada peringkat global katanya, Malaysia sentiasa berada dalam kelompok teratas dalam pasaran sukuk dunia.

Katanya, mengikut laporan dikeluarkan oleh FITCH Ratings, pasaran sukuk dunia dijangka akan terus meningkat walaupun pada kadar perlahan pada tahun ini disebabkan oleh pelbagai faktor ketidaktentuan pasaran.

“Pada 2022, Sukuk Terkumpul Global (Global Outstanding Sukuk) mencecah AS$765.3 bilion atau 7.6 peratus lebih tinggi berbanding 2021.

“Melihat kepada statistik ini dan juga laporan Bank Negara Malaysia yang menjangkakan ekonomi negara akan berkembang antara empat hingga lima peratus pada tahun ini, saya yakin penerbitan Sukuk Wakalah oleh UDA ini akan mencapai sasarannya,” katanya.

Rekod prestasi UDA

Sementara itu, Mohd Salem berkata, untuk penerbitan Sukuk Wakalah berkenaan, MARC Ratings Bhd memberi penarafan MARC-1IS/AA-IS.

Beliau berkata, ini berdasarkan rekod prestasi membanggakan UDA dalam pembangunan hartanah negara, imbangan tunai yang kukuh hasil daripada pengurusan modal berkesan serta sumber pendapatan berulang daripada hartanah yang dilaburkan.

Beliau berkata, dana daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan antara lainnya sebagai modal pusingan untuk pembiayaan projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian serta projek wakaf.

Katanya, sealiran dengan perkembangan global yang menitikberatkan faktor kelestarian dalam setiap langkah organisasi, Sukuk Wakalah UDA yang akan diterbitkan ini turut mengguna pakai Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Secara khususnya, ia merangkumi Piawaian Bon Hijau Asean, Piawaian Bon Sosial Asean dan Piawaian Bon Lestari ASEAN.

“Selain itu, ia juga diselaraskan dengan Prinsip Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial dan Garis Panduan Bon Lestari yang dikeluarkan oleh Persatuan Modal Antarabangsa,” katanya.

Hasil daripada terbitan Sukuk Wakalah ini juga, Pengurusan Aset Kumpulan UDA akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengaplikasian tenaga solar di bangunan yang diselenggara UDA seterusnya memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

UDA yang kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 bilion yakin sembilan matlamat SDG terbabit akan dicapai berdasarkan pengalaman menjalankan operasi selama lebih 50 tahun dalam sektor pembangunan hartanah serta menjadi perintis dan model terbaik untuk pembangunan tanah wakaf.

UDA juga berjaya mengembangkan peranannya dengan membangunkan hartanah berbentuk penempatan kediaman, selain komersial di kawasan bandar.

Kejayaan UDA turut diiktiraf oleh pelbagai pihak sama ada di dalam dan di luar negara.

Nilai projek pembangunan UDA pada penghujung September 2022 adalah berjumlah RM494.8 juta dan UDA juga mempunyai rizab tanah seluas 1,014 ekar dengan taksiran harga pasaran bernilai RM2.6 bilion.

Statistik yang kukuh ini meletakkan UDA di landasan yang tepat untuk terus menjadi antara peneraju utama di dalam sektor pembangunan hartanah negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top