Hanya SPR berhak tentukan pengundi di Dun

Hanya SPR berhak tentukan pengundi di Dun

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berkuasa untuk mengenal pasti pengundi sudah mengundi atau belum di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) tertentu, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, sekiranya pengundi bertukar alamat dan mengundi di negeri lain seperti Selangor, individu berkenaan berhak untuk mengundi mengikut alamat dan tempat yang didaftarkan untuk mengundi.

“Sekiranya ada berlaku pertindihan alamat, pihak SPR boleh mengesan dan menyiasat perkara ini.

“Tidak ada undang-undang yang menyekat perkara ini dan ia terpulang kepada SPR,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Seni Visual Al Khatiri Point, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Pas Selangor menolak tuduhan bahawa pengundi di Terengganu dan Kelantan kini menukar alamat tempat tinggal mereka untuk membuang undi di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan beberapa bulan lagi.

Setiausaha Perhubungan Pas Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir dipetik berkata, tuduhan Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor Adzman Kamaruddin bahawa sejumlah besar pengundi Pas di Kelantan dan Terengganu giat menukar alamat mengundi mereka ke Selangor, adalah tidak berasas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top