sukanteam@nstp.com.my
Alor Setar : Pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Fayadh Zulkifli tidak menyangka namanya berada dalam senarai 27 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 18 Mac ini untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa tier-1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim.
Fayadh antara lapan muka baharu yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon kali ini berkata dia begitu teruja dan pada masa yang sama bersedia dengan cabaran baharu menjadi antara pemain Kedah selain penjaga gawang, Kalamullah Al-Hafiz.
“Saya agak terkejut kerana sewaktu mendapat berita panggilan ke kem latihan pusat skuad kebangsaan saya baru sahaja tiba ke Kedah dengan penerbangan balik dari Kelantan untuk aksi perlawanan menentang Kelantan United FC.
“Saya mendapat maklumat awal melalui banyak mesej ucapan tahniah yang dihantar oleh rakan dan penyokong kepada saya dan apabila mendapat pengesahan berkaitan panggilan ke kem latihan pusat itu saya rasa cukup teruja dan bersyukur kerana saya sebelum ini tidak menyangka nama saya berada dalam senarai pemain.
“Saya gembira dengan cabaran baharu yang diberikan ini dan saya berazam memberi aksi terbaik saya sebagai wakil pasukan KDA FC yang terpilih pada kali ini,” katanya.
Fayadh juga berkata peluang yang diperolehinya bersama skuad kebangsaan ini akan dimanfaatkan dengan sehabis baik bagi memastikan tahap prestasinya dapat dipertingkatkan lagi pada musim ini.
“Ini peluang terbaik yang saya dapat setakat ini kerana skuad kebangsaan dibarisi oleh pemain-pemain yang hebat dan berpengalaman dan ini satu ruang untuk saya mempertingkatkan lagi diri saya pada musim ini.
“Ini juga satu pencapaian yang terbaik buat diri saya dan saya tahu bila bersama pasukan kebangsaan ini saya akan mendapat pendedahan yang baik dari segi tahap kecergasan dan corak permainan yang mana ianya satu penambahbaikan buat diri saya .
“Saya pergi dengan membawa nama KDA FC dan sudah semestinya saya mahu membuktikan kualiti yang ada pada pemain pasukan Kedah kepada ketua jurulatih Kim Pang-gon,” katanya.
Fayadh antara lapan muka baharu selain Paulo Josue, Endrick dos Santos, Nooa Laine, Feroz Baharudin, Daniel Ting, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel yang tersenarai dalam 27 pemain yang akan menjalani kem latihan dan perlawanan antarabangsa itu nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




