AADK, Petronas meterai MoU laksana tempat kerja bebas dadah

AADK, Petronas meterai MoU laksana tempat kerja bebas dadah

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad).

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata, program pencegahan dadah di tempat kerja adalah selaras dengan Standard Antarabangsa Mengenai Pencegahan Penggunaan Dadah yang membabitkan tujuh langkah utama antaranya komitmen pengurusan atasan, polisi dan kawalan kuasa pencegahan dadah.

“Selain itu, pelaksanaan latihan untuk penyelia, program pendidikan dan kesedaran, latihan untuk penyedia program pendidikan dan kesedaran kepada pekerja, program pencegahan dadah dalam komuniti, program rawatan dan pemulihan serta integrasi semula ke dalam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sutekno menzahirkan keyakinan syarikat gergasi negara itu akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan dan pencapaian menerusi pelaksanaan program tersebut kerana ia berupaya mewujudkan persekitaran yang sihat, selamat serta sejahtera.

Menurutnya secara tidak langsung, warga kerja Petronas dapat menjadi ejen penyebaran maklumat tentang bahaya dadah kepada rakan, jiran, keluarga dan komuniti keseluruhannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top