Semua kementerian diminta kaji syarikat monopoli – PM

Semua kementerian diminta kaji syarikat monopoli – PM

farrahnazkarim@nst.com.my

Jeddah: Kerajaan akan mengkaji semula syarikat monopoli sebelum ini sebagai usaha untuk menyediakan medan yang lebih berdaya saing antara mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya sudah meminta semua kementerian mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka, dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.

“Ini memerlukan kita membuat beberapa penyelarasan dan peralihan daripada sistem yang saya anggap sebagai huru-hara, usang hanya kerana kepentingan peribadi.

“Apakah rasional di sebalik keputusan untuk memberikan monopoli?

“Semua kementerian diminta membuat semakan, bagi memastikan orang ramai diberi perkhidmatan yang lebih baik dengan harga yang lebih kompetitif.” katanya dalam sidang media pada hari terakhirnya ketika lawatan rasminya di Arab Saudi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman bahawa kerajaan akan menamatkan monopoli syarikat tunggal yang dilantik oleh kerajaan dalam menjalankan pemeriksaan mandatori ke atas kenderaan secara komersial mahupun persendirian iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tidak mengingkari komitmennya untuk membantu syarikat Bumiputera.

Beliau berkata, inisiatif sedemikian bukan sahaja perlu telus dan adil tetapi juga membolehkan persaingan yang adil dalam kalangan syarikat Bumiputera.

“Jika kebimbangan kita adalah untuk melindungi kepentingan Bumiputera, maka lakukan ia secara jelas dan telus serta biarkan mereka bersaing,” katanya.

Minggu lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan akan mengkaji semula monopoli yang dipegang oleh Touch ‘n Go (TnG) sejak 1997.

Anwar berkata, tidak ada sebarang peningkatan ketara dari segi perkhidmatannya sejak penubuhannya.

“TnG sudah beroperasi selama kira-kira dua dekad tetapi tidak ada sebarang kemajuan yang meyakinkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top