Pemain muda mampu cipta kejutan di Olimpik

Pemain muda mampu cipta kejutan di Olimpik

Kuala Lumpur: Percaturan menghantar pemain muda bukanlah ‘bola tanggung’ untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya ia mampu mencipta kejutan seterusnya berpeluang memburu pingat di Sukan Olimpik.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, rombakan dalam barisan pemain kebangsaan selepas tiga kejohanan berlangsung di Thailand awal tahun ini menunjukkan pemain muda mampu diketengahkan terutama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

“Bagi saya, apapun pendekatan kita… pertama sekali, kita sudah berjaya mengetengahkan pemain pelapis kita, itu fakta. Kalau tengok di Sukan Sea Filipina 2019, kita mencipta sejarah kerana kita dapat tiga pingat emas dalam tempoh 40 tahun. Kita ada Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, S Kisona pada masa itu.

“Proses untuk ketengahkan pemain pelapis sudah berlaku dan sebaik saja di (kejohanan) Thailand iaitu selepas menilai semula prestasi pemain bukan saja disebabkan persembahan mereka di Thailand tetapi penilaian semula dilakukan disebabkan Sukan Olimpik dianjak setahun, jadi kita ada tempoh singkat iaitu tiga tahun saja sebelum Paris 2024.

“Oleh itu, kita perlu menstruktur semula dengan cepat pasukan muda ini. Apabila melakukannya, ia sudah menghasilkan dua enjin, yang pertama enjin bebas iaitu profesional dan BAM membabitkan pasukan muda,” katanya.

Di Terbuka Switzerland baru-baru ini, pasangan beregu muda wanita, Pearly-Thinaah tanpa diduga meraih gelaran sulung mereka dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu, menewaskan pilihan ketiga kejohanan dan ranking ke-14 dunia dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 dalam tempoh 43 minit.

Scroll to Top