London: Arsenal segera mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila gol pertama Gabriel Jesus sejak Oktober memberi inspirasi kepada kemenangan 4-1 ke atas Leeds.
Skuad kendalian Mikel Arteta menyaksikan kelebihan mereka dikurangkan kepada lima mata dengan kemenangan 4-1 Manchester City yang berada di tempat kedua menentang Liverpool pada aksi sebelum itu.
Bagaimanapun, The Gunners tidak menunjukkan tanda-tanda merasakan tekanan perlumbaan kejuaraan di Stadium Emirates ketika mereka melakar kemenangan liga ketujuh berturut-turut.
Jesus menjadi watak utama Arsenal kerana dia menggantikan Bukayo Saka yang sakit dalam kesebelasan utama dan memastikan ketiadaan penyerang England itu tidak menjejaskan persembahan mereka.
Pemain kelahiran Brazil itu meletakkan Arsenal di depan menerusi sepakan penalti di hujung separuh masa pertama sekali gus menamatkan kemarau gol 14 perlawanan dengan jaringan keenamnya sejak meninggalkan City tahun lalu.
Ben White, yang pernah dipinjamkan kepada Leeds, menggandakan kelebihan Arsenal hasil jaringan di awal separuh masa kedua.
Tampil buat kali kedua dalam kesebelasan utama sejak menjalani pembedahan akibat kecederaan lutut di Piala Dunia tahun lalu, Jesus berjaya menambah gol kedua peribadi bagi membuktikan dia kembali cergas tatkala saingan kejuaraan liga menghampiri kemuncak.
Rasmus Kristensen berjaya merapatkan jurang buat Leeds, namun tandukan Granit Xhaka di hujung perlawanan mengesahkan kemenangan Arsenal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




