30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (14)

30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (14)

HIKMAH 14:

لا تَتْرُكِ الذِّكْرَ لِعَدَمِ حُضورِكَ مَعَ اللهِ فيهِ؛ لأن غَفْلَتَكَ عَنْ وُجودِ ذِكْرهِ أَشَدُّ مِنْ غَفْلتِكَ في وُجودِ ذِكْرِهِ. فَعَسى أَنْ يَرْفَعَكَ مِنْ ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ غَفْلةٍ إلى ذِكْرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ يَقَظَةٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ، وَمِنْ ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ حُضورٍ إلى ذِكِرٍ مَعَ وُجودِ غَيْبَةٍ عَمّا سِوَى المَذْكورِ

“Jangan tinggalkan zikir dengan alasan hati lalai. Sesungguhnya lalai dalam berzikir lebih baik dari lalai tanpa berzikir. Mudah-mudahan Allah mengangkat kamu dari zikir lalai kepada zikir sedar, dari zikir sedar kepada zikir hadir, dan dari zikir hadir kepada zikir yang menghilangkan segala selain Allah.”

Maksud:

1.  Jangan hanya kerana kita gagal khusyuk dan lalai ketika berzikir, kita mahu meninggalkan zikir itu. Zikir perlu diteruskan kerana bermula daripada tidak khusyuklah akan menimbulkan kekhusyukan sedikit demi sedikit.

2. Zikir sedar bermaksud kamu sedar kamu sedang berzikir. Itu serendah-rendah martabat khusyuk. Zikir hadir pula adalah kamu membayangkan apa yang dizikir. Kalau zikir syurga, terbayang syurga di depan mata. 

3. Martabat tertinggi adalah zikir yang menghilangkan fokus kepada setiap selain Allah. Namun ia bukanlah bermaksud seseorang hilang akal seperti orang gila atau dirasuk. Cuma dia terlalu menghayati setiap lafaz-lafaz zikir sehingga merasakan setiap kebesaran dan kekuasaan Allah pada alam ini.

Ibrah Ramadan:

Ramadan juga dikenali sebagai bulan zikir. Terlalu banyak doa-doa dan amalan mengingati Allah yang Nabi anjurkan dilakukan pada bulan ini. Doa nampak anak bulan, doa buka puasa, lailatul qadr, bahkan setiap bacaan dalam doa dan tadarus al-Quran mengandungi zikir.

Ambil peluang untuk kita belajar berzikir pada bulan ini supaya dapat dikekalkan bulan-bulan lain. Disamping itu, cuba fokus dalam zikir untuk mengingati Allah. Naik dari martabat lalai ke sedar, hadir dan tiada selain Allah.

ALANG IBN SHUKRIMUN
14 Ramadhan 1444
5 April 2023 – HARAKAHDAILY 5/4/2023

The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (14) appeared first on HarakahDaily.

Scroll to Top