Norza dilantik sebagai presiden kehormat Badminton Asia

Norza dilantik sebagai presiden kehormat Badminton Asia

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Individu daripada Malaysia terus mendapat kepercayaan untuk berada dalam kepimpinan tertinggi sukan antarabangsa dengan terbaharu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Norza Zakaria pula dipilih sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA).

Pemilihan terbabit adalah berdasarkan kepada persetujuan sebulat suara daripada perwakilan dan barisan kepimpinan BA pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada hari ini.

Malah, Norza mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama Malaysia menyandang jawatan terbabit sekali gus dilihat mampu memberi impak positif dalam meningkatkan lagi kualiti sukan itu di Asia.

Menurut Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa pelantikan itu secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada BA berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan Norza dalam bidang pemasaran, penajaan, penganjuran acara dan pembangunan badminton.

“Kami menyambut baik pelantikan itu dan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Norza bagi pihak Majlis BAM dan semua ahli gabungannya,” katanya.

Mengikut rekod, Perlembagaan BA, Fasal 13.2, menghendaki individu yang dilantik sebagai Presiden Kehormat untuk berkhidmat dengan konfederasi, mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mencapai status tertentu supaya mampu memberikan sokongan dan impak positif kepada badan induk badminton Asia itu.

Selain itu, perlembagaan juga menyatakan bahawa pelantikan Presiden Kehormat adalah menerusi cadangan Presiden BA selepas mengadakan perbincangan bersama barisan exco dan perwakilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top