Jujitsu sandaran emas pertama Malaysia

Jujitsu sandaran emas pertama Malaysia

sukan@hmetro.com.my

Phnom Penh: Skuad jujitsu menjadi sandaran kontinjen Malaysia untuk menyumbang pingat emas pertama negara di pentas Sukan Sea Kemboja 2023, Sabtu ini.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Mohd Nasir Ali bagaimanapun tidak mendedahkan nama atlet berkenaan yang turut termasuk dalam sasaran untuk mendapatkan emas.

Beliau berkata, atlet itu yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas misi menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

“Kita jangka selepas upacara perasmian (Jumaat ini), pada 6 April (Sabtu ini) ada pertandingan jujitsu yang mana kita letak harapan kepada seorang atlet dengan dia termasuk dalam sasaran mendapatkan pingat emas.

“Jadi kita harapkan dia dapat meraih pingat emas. Insya-Allah (pingat emas pertama Malaysia). Dulu dia pernah bertanding dan mengalami kecederaan, tetapi sekarang semangat dia lagi kuat,” katanya ketika ditemui selepas majlis menyambut ketibaan kontinjen dan menaikkan bendera negara bertanding dalam Sukan Sea Kemboja 2023 di Stadium Nasional, Morodok Techo, hari ini.

Dua atlet jujitsu negara yang akan bertarung di Sukan Sea Kemboja iaitu Adam Akasyah dalam kategori Gi bawah 69kg dan Damon Soo Yan Wei bagi acara No Gi bawah 69kg.

Adam yang memenangi pingat perak dan mengalami kecederaan ketika aksi final pada temasya sama di Hanoi, Vietnam tahun lalu menjadi sasaran untuk meraih emas buat negara.

Untuk rekod, kontinjen negara diletakkan sasaran untuk mencapai 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa di Sukan Sea Kemboja 2023 yang akan membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top