am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kereta Honda Civic milik bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum beliau didakwa, akhirnya dipulangkan petang tadi.
Kenderaan itu dirampas susulan Veteran Umno itu dituduh atas dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta, tahun lalu.
Bagaimanapun pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Shahrir daripada tuduhan berkenaan.
Menurut Shahrir, beliau ditemani peguam Syahrul Syazwan Salehin ke pejabat SPRM Selangor selepas solat Jumaat untuk mengambil keretanya.
“Selepas solat Jumaat, saya dengan peguam Syahrul telah ke SPRM Selangor untuk mengambil kereta Honda Civic yang mereka sita.
“Walaupun empat bulan selepas kes AMLA/LHDN (pengubahan wang haram dan Lembaga Hasil Dalam Negeri) terhadap saya digugurkan, saya gembira mendapat semula kereta yang dah jadi ‘famous’ dan terkenal semasa perbicaraan kes itu,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, bekas Pengerusi Felda itu mengkritik SPRM kerana gagal memulangkan kereta yang dirampas walaupun Mahkamah Tinggi mengarahkannya dilepas dan dibebaskan atas tuduhan atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.
Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya dan SPRM memanggil beberapa saksi antaranya jurujual, kerani syarikat jualan kereta, pegawai bank dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Putrajaya untuk menyiasat pembelian kereta oleh Shahrir pada 2013.
Mahkamah diberitahu Shahrir membayar RM118,485 untuk kereta itu menggunakan cek pada 21 Disember 2013.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan untuk melepas dan membebaskannya selepas Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan terhadap tertuduh.
Kereta itu satu-satunya aset yang belum dipulang sejak Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd