Petaling Jaya: Gagal memenuhi tempahan dan lambat memberi maklum balas kepada pelanggan, syarikat kasut terkenal menerima padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.
Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dibuat pada 11 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Petaling Jaya di syarikat terbabit di Damansara Perdana, di sini.
“Serbuan dilakukan hasil aduan pelanggan yang tidak berpuas hati ekoran tidak menerima produk yang ditempah dalam tempoh lama selepas bayaran dibuat.
“Ketika serbuan, anggota berjumpa dengan seorang lelaki dipercayai wakil syarikat dan menyita dokumen penting yang berkaitan dengan pelanggaran kesalahan dipercayai dilakukan syarikat itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Muhamad Zikril Azan berkata, kes disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu pengiklanan umpanan iklan dengan niat untuk tidak mengadakannya.
“KPDNHEP memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga untuk sentiasa memastikan penawaran sesuatu barangan atau perkhidmatan secara dalam talian supaya mematuhi undang-undang kepenggunaan yang termaktub dan bertanggungjawab atas tawaran yang diberikan kepada pelanggan masing-masing, “katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 60 kes dihasilkan KPDNHEP Petaling Jaya sepanjang tahun ini.