sukanteam@nstp.com.my
Kuantan: Rekod tanpa kalah Sri Pahang FC di halaman sendiri lebur selepas tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Kekalahan skuad Tok Gajah itu juga yang kedua berturut-turut selepas tewas 0-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Mei lalu.
Pada perlawanan itu, KL City tidak menunggu lama untuk merobek gawang tuan rumah hasil sentuhan penyerang import, Tchetche Kipre seawal minit kelima.
Jaringan itu diperolehi daripada rembatan dari luar kotak penalti oleh Kipre yang menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi Roslan.
Selang dua minit, penyerang Sri Pahang Kpah Sherman hampir menyamakan kedudukan tetapi bola rembatannya sedikit tersasar di tiang sebelah kanan lawan.
Pada minit ke-10, pertahanan import tuan rumah, Stefano Brundo berjaya menjaringkan gol selepas tandukannya menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin tetapi dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside.
Selepas itu tuan rumah berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi akur ketinggalan 0-1 sebaik separuh masa tamat.
Bersambung babak kedua, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Brundo hasil sepakan penalti yang diperolehi pada minit ke-57.
Ia berpunca daripada penjaga gol KL City, Muhammad Azim yang menjatuhkan pemain tengah, Baqiuddin di dalam kotak penalti yang menyaksikan pengadil, Razlan Joffri memberikan penalti kepada tuan rumah.
Pada minit ke-75, kapten pasukan KL City, Paulo Josue kembali meletakkan pasukan itu di hadapan selepas sepakan percuma yang disempurnakannya membolosi gawang Sri Pahang.
Sri Pahang berusaha untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata tetapi pertahanan kental pelawat menyebabkan skuad itu akur tewas di halaman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd
