Tukang urut menang emas judo

Tukang urut menang emas judo

Phnom Penh: Atlet judo, Muhammad Fatah Abu Bakar merasakan kerjaya tetap sebagai tukang urut bukanlah penghalang untuk menghadirkan kilauan emas untuk negara dalam sukan tempur dan seni mempertahankan diri pada temasya Sukan Para Asean (APG) 2023, di sini, hari ini.

Turun sebagai bukan pilihan kejohanan, Muhammad Fatah menampilkan aksi bertenaga menerusi kategori J2 (kecacatan penglihatan) kelas 73 kilogram (kg) untuk menumpaskan juara bertahan dari Indonesia, Sahrul Sulaiman, pada aksi final di Dewan Federasi Belia Kemboja, di sini.

Lebih menarik apabila pingat itu hadir menerusi penampilan keduanya selepas edisi 2007 di Thailand yang ketika itu Muhammad Fatah terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa kategori 66kg lelaki.

“Saya sebenarnya demam hari ini, namun terharu apabila dapat sumbang emas buat Malaysia. Banyak pengorbanan yang perlu saya lalui untuk sampai ke tahap ini.

“Bukan mudah apabila saya bekerja sebagai tukang urut di Brickfields, Kuala Lumpur terpaksa mencari waktu lapang untuk melakukan latihan sendiri.

“Ia amat berbaloi buat negara dan keluarga tercinta,” katanya yang kelihatan sebak selepas kemenangan itu.

Beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Fatah mengakui hampir berputus asa dalam kehidupan apabila hilang penglihatan secara tiba-tiba ketika berusia 21 tahun.

Fatah terpaksa berhenti menyambung pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kuala Lumpur dan kembali ‘menapak’ apabila ditempatkan di Pusat Latihan Gurney yang diusahakan Persatuan Orang Buta di ibu negara.

Atlet berusia 37 tahun itu enggan menoleh ke belakang dan terus bergerak ke hadapan dalam mengimbangi kerjaya dan judo atas dasar cinta terhadap sukan itu.

“Pada umur 21, secara berperingkat saya hilang penglihatan dan sudah semestinya tidak boleh terima kerana masih muda masa itu. Saya memang terduduk dengan ujian dari-Nya, namun sedar pasti ada hikmah.

“Saya kembali bangkit dengan berkat dan sokongan keluarga dan orang sekeliling. Akhirnya pada 2007 jumpa judo dan terus wakil negara di APG Thailand,” ujarnya.

Beliau seterusnya akan berjuang bagi emas kedua negara dalam acara berpasukan bersama Chee Hock Lee dan Mohd Khairul Azmi Abd Rahaman, esok.

Sementara itu, rakan sepasukannya Hock Lee merangkul pingat gangsa menerusi acara J1-90kg.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top