Umno perlu pertahan Kerajaan Perpaduan

Umno perlu pertahan Kerajaan Perpaduan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Umno perlu mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang disertai bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat sekali gus menoktahkan kecelaruan politik di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak lagi boleh mensia-siakan peluang yang ada kerana tiada siapa yang akan percaya kepada parti itu sekiranya kerajaan hari ini gagal.

“Bayangkan implikasinya kepada Umno, jika kita mensia-siakan peluang ini. Jika kita tidak berprestasi dan jika kita pula yang menjadi masalah kepada Kerajaan Perpaduan.

“Siapa lagi yang akan percaya kepada Umno selepas ini, jika kita gagal menjayakan kerajaan ini. Kita bukan sahaja akan mengecewakan kepercayaan raja yang kita kasihi.

“Kita juga akan menjadikan rakyat lebih muak dengan drama politik kita,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2023 hari ini.

Mohamad berkata, pengundi juga akan terus menghukum Umno dengan hukuman penolakan yang tidak akan memungkinkan parti itu bangkit semula.

“Kita tidak punyai pilihan. Prestasi kita dalam kerajaan akan menentukan, sama ada kita boleh dipercayai ataupun tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Dan sudah semestinya, menjayakan kerajaan ini sangat penting kepada Umno kerana kita mesti melakukan perkara yang betul untuk tanah air ini,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sudah empat tahun negara ini terumbang-ambing tanpa kejelasan matlamat dalam bernegara dan berbangsa.

“Kita mesti menggunakan peluang yang sangat unik ini untuk membezakan Umno dari parti politik lain. Bahawa kita bukan sekadar punya iltizam.

“Kita punya kepakaran, kebijaksanaan, ilmu dan pengalaman yang boleh kita manfaatkan untuk menjadikan kerajaan ini kerajaan yang cekap, bersih dan amanah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top