Mohon MOM pujuk PABM – Hannah

Mohon MOM pujuk PABM – Hannah

saifulaffendy@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memohon campur tangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk ‘memujuk’ Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengendalikan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Ogos tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pembabitan MOM diperlukan selepas PABM menarik diri daripada mengendalikan penganjuran acara sukan berkenaan pada edisi Sukma tahun lalu ketika di bawah penganjuran Majlis Sukan Negara (MSN).

“Perkara ini kita ada bincang (dalam mesyuarat hari ini). Kita sudah minta MOM melihat perkara ini kerana kebimbangan sudah disuarakan beberapa negeri,” kata Hannah ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di sini, hari ini.

PABM mengambil keputusan berani pada pada Sukma tahun lalu apabila menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat selepas tiga atlet gagal dalam ujian doping sebelum bermulanya temasya berkenaan.

Bagaimanapun, acara angkat berat tetap dianjurkan ketika itu selepas ia dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai dilantik sekretariat Sukma di bawah MSN.

Tindakan itu menyaksikan segala pencapaian termasuk rekod kebangsaan dicipta pada temasya itu tidak diiktiraf kerana tiada pembabitan PABM selaku badan induk sukan kebangsaan.

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma hari ini bersetuju untuk menyenaraikan lima jenis sukan iaitu softball, kriket, catur, kabadi dan silambam untuk dipertandingkan pada di temasya itu, tahun depan.

Namun Hannah berkata, lima sukan itu perlu mempunyai penyertaan enam negeri sebelum ia dibenarkan dipertandingkan di Sarawak.

“Faktor pertimbangan itu dibuat kerana sukan itu mempunyai Kejohanan Remaja Kebangsaan dan paling penting Sarawak selaku penganjur Sukma 2024 dan MSN sebagai penganjur Sukma 2026 bersetuju memasukkan lima sukan ini supaya ada kesinambungan dan perancangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top