Warga emas diisytihar mati, hidup semula

Warga emas diisytihar mati, hidup semula

QUITO – Orang ramai dan ahli keluarga yang hadir pada hari pengebumian seorang wanita warga Ecuador terkejut apabila mendapati dia masih hidup.

Bella Montoya, 76, yang diisytiharkan meninggal dunia minggu lalu kerana strok.

Ketika saudara mara menyiapkan mayatnya untuk dikebumikan, mereka mendapati Bella tercungap-cungap.

Bella kini diletakkan di unit rawatan rapi hospital dan Kementerian Kesihatan Ecuador telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, wanita itu mengalami kardiorespiratori iaitu kehilangan pernafasan dan fungsi jantung – tidak bertindak balas terhadap resusitasi.

Oleh itu, doktor yang bertugas mengesahkan kematiannya.

Anak lelakinya, Gilber Rodolfo Balberán Montoya, dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, ibunya telah dimasukkan ke hospital kira-kira jam 9 pagi dan pada tengah hari seorang doktor memberitahu dia telah meninggal dunia.

Mayat Bella kemudian dimasukkan ke dalam keranda selama beberapa jam sehingga dia dilihat ahli keluarga cuba menarik nafas panjang.

Satu video yang disiarkan di media sosial menunjukkan dia berbaring di dalam peti keranda dan bernafas dengan payah manakala beberapa orang mengerumuninya.

Paramedik kemudian tiba dan memindahkannya ke atas pengusung dan masuk ke dalam ambulans.

Kini dia berada dalam rawatan rapi di hospital yang sama, di mana doktor mengisytiharkan kematiannya. – Agensi

Scroll to Top