mohdsyazwan@hmetro.com.my
Putrajaya: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dinamakan sebagai individu paling sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Panel Penasihat Teknikal ABM, Tan Boon Heong berkata, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Chong Wei cukup ditagih dalam membentuk pemain perseorangan mantap untuk negara.
Beliau yang juga bekas pemain negara turut bersetuju supaya jawatan berkenaan ditukar kepada individu lain dalam usaha memberi nafas baharu kepada ABM.
“Bukan sesuatu yang buruk apabila tukar orang baharu kerana sudah lima tahun beliau (Choong Hann) dan sudah terbukti ada keputusan positif.
“Saya lihat, individu baharu yang masuk nanti akan ada lebih banyak ruang untuk memperbaiki kelemahan seterusnya lebih banyak kejuaraan dicapai.
“Calon sesuai saya lihat adalah Datuk Lee Chong Wei ketika ini. Tukar lebih baik daripada tidak buat apa kerana orang baharu sudah tentu nampak masalah kita dan boleh lakukan (perbaiki) segera,” katanya, ketika ditemui pada majlis pelancaran kejohanan rasmi pertama 3V3 TotalEnergies x Li-Ning Cup 2023 untuk pemain bukan profesional di sini, hari ini.
Terdahulu, arena badminton negara dikejutkan dengan keputusan Wong Choong Hann meletak jawatan yang disandang lima tahun lalu.
Situasi terbabit menyebabkan BAM itu perlu menyelesaikan banyak kerja kerana perlu mencari pengganti dengan kadar segera bagi memastikan barisan pemain perseorangan negara tidak berada dalam keadaan ‘terumbang-ambing’.
Malah, ketika ini difahamkan BAM juga masih belum mengumumkan pengganti kepada Michelle Chai yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ABM termasuk Pengarah Prestasi Tingginya Dr Tim Jones yang turut berbuat demikian pada bulan lalu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk berehat seketika daripada menyertai kejohanan, Boon Heong berkata, ia satu keputusan yang baik namun pemain di ranking ke-11 dunia itu tidak seharusnya ‘gantung raket’ terlalu lama.
“Saya rasa dia berhenti sementara itu, bukan sesuatu yang tak bagus… bagus juga kerana dia tak ada keyakinan diri dan keputusan dia setakat ini tak begitu bagus sangat. Namun saya rasa tak boleh rehat terlalu lama kerana ada Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.
“Pandangan saya, rehat untuk dua atau tiga kejohanan itu sudah baik kerana pada Ogos nanti ada Kejohanan Dunia, jadi kena fokus semula. Untuk menjadi pemain di kelompok terbaik, kena ambil tekanan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




