rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung pembabitan pemimpin politik dalam kegiatan perjudian dalam talian.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sudah menerima maklumat mengenai dakwaan terbabit.
“PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentusahkan serta menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Beliau ketika menjawab soalan Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam berkata, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
Kata beliau, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.
Sementara itu, Acryl Sani berkata, PDRM mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara.
Katanya, segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




