Pulut Lagenda, jenama beras pulut Langkawi

Pulut Lagenda, jenama beras pulut Langkawi

bhnews@bh.com.my

LANGKAWI: Pulut Lagenda dipilih sebagai nama rasmi beras pulut dihasilkan petani di sini, sekali gus menjadi produk mercu baharu bagi pulau pelancongan itu.

Pemilihan nama itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada majlis Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin 2021 di Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi di sini, hari ini.

Kiandee berkata, beras pulut ditanam di kawasan seluas 541.58 hektar itu kini bersedia menggantikan produk gamat yang sinonim bagi pulau peranginan itu sebelum ini.

“Nama Pulut Lagenda dipilih kerana sinonim dengan Langkawi dan kita berikan nama itu supaya ia menjadi suatu produk unik di Langkawi.

“Difahamkan harga beras ini agak lumayan dan bakal menjadi sumber pendapatan baharu kepada pesawah,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Kiandee berkata, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM20.5 juta bagi pelaksanaan projek tanaman padi pulut itu selama empat musim di lapan kawasan.

“Program ini membuahkan hasil apabila berjaya mengeluarkan 1.55 tan padi beras pulut pada musim 2/2019, diikuti 6.94 tan untuk dua musim sebelumnya.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersedia membina kilang padi dalam usaha menyokong projek itu di Langkawi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top