KELANTAN FC tampil memberikan penjelasan berkaitan tuntutan RM50,000 yang dikenakan kepada Nurshamil Abdul Ghani selepas pemain penyerang itu meminta penamatan kontrak secara bersama.
Bahagian perundangan Kelantan FC dalam satu kenyataan berkata, pihak kelab berhak menuntut nilai kompensasi daripada Nurshamil selepas nilai yang dibelanjakan untuk membangunkan prestasi dan kebolehan pemain itu.
“Berdasarkan populariti dan reputasi yang dicapai oleh pemain tersebut bersama kelab juga kepentingannya di dalam pasukan dan lebih penting pelaburan yang telah kelab belanjakan untuk pembangunan prestasi dan kebolehan bola sepak.
“Pihak kelab merasakan adalah tidak wajar untuk melakukan penamatan kontrak secara bersama tanpa sebarang kompensasi kepada kelab.
“Untuk pengetahuan, pemain tersebut mempunyai baki kontrak sehingga November 2024. Dalam kes penamatan kontrak sebelum tamat tempoh oleh pemain, sama ada secara bersama mahupun secara sebelah pihak, kelab berhak untuk menuntut nilai kompensasi bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Nurshamil dilaporkan mendakwa perlu membayar RM50,000 untuk menamatkan kontrak biarpun atas persetujuan bersama.
Kelantan FC menjelaskan, pihak kelab telah menerima permohonan untuk penamatan kontrak secara bersama daripada pemain tersebut yang memohon pada bulan Mei sebagai bulan terakhir bersama kelab.
“Dalam kes ini, pemain tersebut masih mempunyai 18 bulan (Jun 2023 – November 2024) baki tempoh kontrak lagi.
“Sungguhpun begitu, sebenarnya nilai RM50,000 yang dituntut tersebut adalah lebih kurang separuh sahaja daripada nilai baki kontrak yang berhak dituntut oleh kelab.
“Ini sebenarnya menunjukkan betapa pemain tersebut adalah bernilai dan penting kepada kelab di mana kepergian beliau bakal merencatkan persiapan kelab untuk pusingan kedua liga
“Pihak kelab sentiasa menghormati keputusan setiap pemain dalam perkara ini namun pelaburan pihak kelab dalam pembangunan pemain juga perlu diambil kira di mana kelab pastinya mengalami kerugian sekiranya pemain yang disemai dan dibangunkan hanya perlu semudah meminta penamatan bersama tanpa kompensasi dan kemudiannya bebas memasuki kelab lain untuk meraih manfaat yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, Kelantan FC sedia untuk terus berunding mengenai nilai tersebut dan menyelesaikan secara harmoni.
“Nilai RM50,000 itu bukanlah suatu nilai muktamad dan kelab masih terbuka kepada rundingan untuk mencapai penamatan secara persetujuan bersama dalam keadaan baik dan harmoni yang memberikan keuntungan kepada semua pihak,” katanya.



