80 positif COVID-19, pasar di Bangkok ditutup

80 positif COVID-19, pasar di Bangkok ditutup

BANGKOK: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menutup serta merta Pasar Bang Kae di daerah Thon Buri, semalam selepas 80 orang kesan positif COVID-19 selepas mengunjungi pasar berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Awam BMA, Parnrudee Manomaipiboon mengesahkan, tindakan pengesanan kes aktif itu dilakukan semalam.

Katanya, pengesanan itu bermula pada jam 9.30 pagi membabitkan 1,400 orang yang kebanyakannya adalah pelanggan dan peniaga di lima pasar berhampiran termasuk Bang Kae.

“Hasil ujian menunjukkan 80 orang dijangkiti COVID-19 dan BMA kini giat melakukan ujian saringan dan pengesanan kontak,” katanya.

Pengesanan itu dilakukan kerana kemungkinan kewujudan kluster baharu jangkitan COVID-19 di lokaliti itu ketika negara berkenaan merancang untuk melonggarkan perintah sekatan.

Pihak BMA dilaporkan menghantar sampel ujian calitan ke makmal Kementerian Kesihatan untuk ujian semula.

Punca jangkitan baharu itu belum dapat dipastikan namun kewujudannya menimbulkan kebimbangan tercetusnya kluster baharu di pasar terbabit dan masyarakat setempat.

Difahamkan, ada pelanggan yang ke pasar terbabit dari luar daerah dan pulang ke wilayah masing-masing selepas itu.

Orang ramai mula bimbang selepas Pejabat Kesihatan Wilayah Nakhon Pathom menyeru orang ramai yang pernah ke pasar terbabit antara 27 Februari hingga 13 Mac untuk melakukan ujian saringan.

Pengumuman itu dibuat selepas tiga orang dari satu keluarga disahkan positif COVID-19 hasil ujian saringan awal.

Pegawai kesihatan memberitahu Bangkok Post yang pembawa virus itu adalah seorang ibu berusia 64 tahun yang ke Pasar Bang Kae untuk membeli rencah somtam di kedainya.

Wanita terbabit dilaporkan turut menjual salad betik di kedainya di Jalan Phetkasem dekat bandaraya ini. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top