bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Seramai 109 individu dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM1.13 juta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam serbuan di sebuah premis pusat hiburan sekitar Muar, semalam.
Jumlah itu adalah yang terbesar pernah dikeluarkan sejak kompaun maksimum RM10,000 dikuatkuasakan pada 11 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10.45 malam itu, operasi bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
“Polis membuat pemeriksaan terhadap 109 individu tempatan berusia 17 hingga 52 tahun yang berhibur dalam premis itu, membabitkan 81 lelaki dan 28 wanita.
“Semakan rekod mendapati premis ini sudah dua kali diserbu iaitu pada 26 Februari dan 10 Mac lalu, manakala kompaun pernah dikenakan dan surat pembatalan lesen premis juga diedarkan.
“Bagaimanapun, premis ini masih menjalankan perniagaan walaupun tidak boleh beroperasi dan tidak mempunyai lesen hiburan.
“Polis turut menahan lelaki pengurus premis hiburan berusia 52 tahun kerana didapati melanggar SOP ditetapkan, selain dikenakan kompaun RM50,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Ayob Khan berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati semua individu negatif dadah manakala penjaga dan pekerja premis hiburan diambil keterangan.
Katanya, turut dirampas ialah dua pembesar suara, dua alat kawalan muzik (amplifier), masing-masing sebuah pemain DVD, ‘equalizer’ dan unit pemprosesan komputer (CPU).
“Sejak 20 Mei tahun lalu hingga 12 Januari lalu, sebanyak 49 serbuan dengan 1,498 kompaun dikenakan terhadap pelanggaran SOP membabitkan pusat hiburan.
“Bagi tempoh 13 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 21 serbuan dengan 600 kompaun dikenakan atas pelanggaran SOP membabitkan pusat hiburan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




