Jalan masuk ke Banda Hilir ditutup 6 jam mulai Sabtu

Jalan masuk ke Banda Hilir ditutup 6 jam mulai Sabtu

MELAKA: Beberapa jalan utama masuk ke Banda Hilir di sini akan ditutup selama enam jam dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam bermula Sabtu ini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, penutupan tersebut adalah bagi tempoh percubaan sebelum zon bebas kenderaan dilaksanakan kelak.

Menurutnya, sewaktu tempoh percubaan tersebut, tiada peniaga khususnya di Uptown Pahlawan Walk dipindahkan sebaliknya mereka kekal berniaga di situ.

“Jalan akan mula ditutup dari Bangunan Stadthuys hingga Menara Taming Sari manakala sebahagian jalan pula ditutup dari Menara Taming Sari hingga Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

“Jalan tersebut ditutup berikutan penganjuran Program Ride & Run. Kita hanya tutup selama enam jam ini hanyalah tempoh percubaan dan tidak melibatkan sebarang perpindahan peniaga.

“Saya harap semua pihak dapat beri kerjasama kerana kita telah cuba sedaya upaya supaya ia tidak menjadi masalah atau beban, selain itu kita akan melihat komen daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Tambah Rais, sepanjang tempoh percubaan kerajaan negeri ingin melihat kebarangkalian masalah yang timbul dan penambahbaikan sebelum zon bebas kenderaan dilaksanakan.

Beliau turut meminta peniaga yang ingin memulakan perniagaan supaya masuk lebih awal sebelum pukul 6.00 petang.

“Kemudahan buggy disediakan kepada orang ramai, perkara tersebut akan diumumkan oleh MBMB nanti kerana itu adalah antara perkara yang perlu dititik-beratkan,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top