Mendahulukan kesejahteraan rakyat

Mendahulukan kesejahteraan rakyat

Nik Muhammad Nasri Nik Malek

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 81)

Advertisement

Umar bin Abdul Aziz ra ketika pemerintahannya, suatu hari, pernah keluar ke Syam. Beliau dan Muzahim menunggang kuda atau unta. Beliau menemui banyak rombongan yang bertanyakan tentang keadaan kampung-kampung di situ.

Seorang penunggang kuda atau unta dari Madinah menemui Umar dan Muzahim. Mereka berdua bertanya kepadanya mengenai orang ramai dan berita di sebaliknya, dan itulah tujuan mereka berdua keluar.

Penunggang kuda atau unta itu berkata: Jika kamu mahu, aku beritahu semua berita yang aku tahu. Jika kamu mahu, aku beritahu sebahagiannya sahaja.

Kedua-duanya berkata: Bahkan. Beritahu semuanya.

Jawab lelaki itu: Aku tinggalkan Madinah dalam keadaan orang zalim dikalahkan, orang yang dizalimi ditolong, orang kaya membantu, orang miskin dibantu.

Umar gembira mendengar berita itu. Beliau berkata:

والله لأن تكون البلدان كلها على هذه الصفة أحب إلي مما طلعت عليه الشمس

Demi Allah! Seluruh negeri ini dalam meadaan seperti ini, lebih aku sukai dari keadaan naiknya matahari.

Sirah Umar bin Abdul Aziz, Ibn Abdul Hakam ms 131.

Islam pernah menunjukkan kepada dunia bagaimana keadaan dunia itu apabila Islam memerintah, mentadbir dan nengurus dunia. Zaman Nabi adalah yang terbaik. Diikuti zaman penggantinya, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman bin Affan dan Ali radiallahu anhum.

Umar bin Abdul Aziz adalah antara khalifah yang menyambung legasi Khulafa ar-Rashidin terdahulu. Kebijaksanaannya dirasai. Keadilannya diketahui. Kezuhudannya dikagumi. Pemerintahannya dipenuhi dengan keadilan.

Dalam kisah di atas, khalifah sendiri menunggang binatang untuk mendapat berita tentang negeri dan negara di bawah pemerintahannya.

Dalam konteks semasa, adakah Perdana Menteri, Menteri atau Menteri Besar perlu turun melihat keadaan rakyat? Pada pendapat saya, tidak salah mereka ini turun sekali-sekala dengan cara spontan, tanpa protokol dan persiapan rapi, melihat keadaan sebenar rakyat di bawah. Bagaimana pasar, jalan berlopak, hospital yang sesak katil, bangunan sekolah yang usang dan lain-lain. Untuk pemantauan harian, sudah ada pegawai, staf dan mereka yang bertanggungjawab secara langsung mengenai sesuatu tugasan itu.

Umar bin Abdul Aziz mendapatkan berita dan maklumat secara first hand dan langsung dari mulut seorang yang keluar dari Madinah. Ini bermakna para pemerintah, pentadbir mesti mendapatkan maklumat sebenar dari mereka yang berotoriti, tahu cerita dan berita sebenar, bukannya hanya dengar-dengar dari sumber yang tidak tahu dari mana datangnya.

Yang menarik dari jawaban lelaki itu ialah apabila beliau menyimpulkan suasana pemerintahan dan pentadbiran di Madinah: Aku tinggalkan Madinah dalam keadaan orang zalim dikalahkan, orang yang dizalimi ditolong, orang kaya membantu, orang miskin dibantu.

Ayat yang disebut ringkas, mudah difahami, tetapi punya makna yang sangat mendalam, sangat penting bagi kestabilan sebuah kerajaan dan keadilan yang didamba oleh rakyat.

Kita berdoa, selepas pilihan raya negeri baru-baru ini, mana-mana negeri yang mendapat pemerintah dan pentadbirnya dari kalangan mereka yang baik, soleh, berintegriti, cakap serupa bikin, mendahulukan kesejahteraan rakyat, tentulah negeri itu akan mendapat keberkatan dari Allah.

Sebaliknya jika pemerintahnya tidak menjaga kesejahteraan rakyat, menindas orang miskin, membantu orang zalim dan lain-lain, tentulah ia jauh dari rahmat Allah dan dibenci oleh rakyatnya sendiri. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

Penulis adalah Timbalan Pengerusi, Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Scroll to Top