
BANGKOK: Thailand akan mula menggunakan vaksin Covid-19 AstraZeneca pada Selasa, selepas penangguhan sementara atas kebimbangan terhadap keselamatannya, kata pegawai.
Perdana menteri dan anggota Kabinetnya ialah kumpulan pertama yang akan menerima suntikan itu.
Jumaat lalu, Thailand menjadi negara pertama di luar Eropah yang menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca. Pihak berkuasa di Ireland, Denmark, Norway, Iceland dan Belanda menggantung penggunaannya atas masalah pembekuan darah.
Natreeya Thaweewong dari pejabat jurucakap rumah kerajaan melalui pesanan teks berkata, inokulasi Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha dan menterinya yang tertangguh akan dilakukan pada pagi Selasa.
AstraZeneca pada Ahad berkata, ia sudah menjalankan “kajian semula secara teliti” ke atas data daripada lebih 17 juta orang yang divaksin di UK dan Kesatuan Eropah, yang menunjukkan “tiada bukti peningkatan risiko embolisme pulmonari, trombosis vena dalam atau trombositopenia”.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul pada Isnin berkata, vaksin AstraZeneca akan diberikan kepada Kabinet, selepas disahkan selamat oleh pakar kesihatan tempatan yang mengadakan mesyuarat hari ini.
Beliau berkata, banyak negara mengesahkan tiada masalah pembekuan darah sebagai kesan sampingan vaksin itu dan akan meneruskan penggunaannya.
“Jawatankuasa akademik kami kata ia patut digunakan dan mereka akan bermesyuarat petang ini untuk lebih yakin.
“Jika tiada maklumat lanjut, ia (vaksin itu) akan digunakan esok.”
Strategi vaksinasi besar-besaran Thailand sangat bergantung kepada AstraZeneca, yang akan dihasilkan di dalam negara itu mulai Jun untuk pengagihan wilayah, dengan 61 juta dos disediakan untuk penduduknya.
Thailand mengimport vaksin AstraZeneca sebagai tambahan kepada 200,000 dos vaksin Sinovac dari China untuk pekerja perubatan dan kumpulan berisiko tinggi.
Anutin menerusi Facebooknya berkata, tambahan 800,000 dos Sinovac akan tiba 20 Mac ini.




