5 lagi terbunuh dalam tunjuk perasaan antirampasan kuasa

5 lagi terbunuh dalam tunjuk perasaan antirampasan kuasa

YANGON: Sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan antirampasan kuasa terbunuh di seluruh Myanmar hari ini, apabila penunjuk perasaan kembali ke jalanan.

Menurut kumpulan pemantau Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP), kira-kira 44 penunjuk perasaan terbunuh semalam, ketika pasukan keselamatan bertindak, menjadikan jumlah kematian sejak rampasan kuasa lebih dari 120 orang.

Mereka yang terbunuh hari ini, ditembak mati di dua lokasi dan saksi mengatakan junta sekali lagi menggunakan kuasa mematikan penunjuk perasaan.

“Dua lelaki terbunuh kerana tembakan dan enam yang lain cedera,” kata seorang saksi di bandar Aunglan wilayah Magway kepada AFP, sambil menambah bahawa dua lelaki itu ditembak di dada dan di kepala.

Negara ini bergolak dan protes dilakukan setiap hari dengan menuntut pemulihan demokrasi walaupun usaha junta semakin kuat untuk menghalang perbezaan pendapat.

Walaupun jumlah kematian yang tinggi, penunjuk perasaan kembali ke jalanan hari ini, namun menjelang waktu petang kematian dilaporkan di bandar tengah Myingyan.

Berita mengenai keganasan itu muncul pada sebelah petang berikutan terdapat sekatan data mudah alih di seluruh Myanmar hingga mengganggu jadual kemunculan Aung San Suu Kyi di mahkamah.

Perbicaraan Suu Kyi juga ditangguhkan sehingga 24 mac ini menurut peguamnya, Khin Maung Zaw.

“Tidak ada perbicaraan mahkamah kerana tidak ada internet dan perbicaraan dilakukan melalui persidangan video. Kami tidak dapat melakukan video,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top