bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu klip video yang cenderung menghasut orang ramai menentang isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan dan usaha mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan dilakukan sejak Sabtu lalu.
“Kita dapati beberapa kenyataan yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan bersifat menghasut mengenai dasar agama serta perkauman disebut dalam klip berdurasi 12 minit 34 saat itu.
“Suspek sudah dikenal pasti dan dia akan hadir lbu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dalam masa terdekat untuk memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Huzir berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Kita menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam,” tegasnya.
Difahamkan, siasatan polis mendapati klip video berkenaan sudah memperoleh 9,700 respons, 5,900 komen dan 7,300 perkongsian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




