BALING: Kerajaan negeri masih meneruskan bantuan bayaran bulanan sewa rumah kepada mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, di sini dan tidak pernah menghentikannya seperti yang didakwa mangsa terlibat.
Pegawai Daerah Baling, Datuk Mohd. Shahadan Abdullah berkata, daripada lima keluarga mangsa zon bahaya yang dipindahkan ke rumah sewa akibat tragedi itu, tiga daripadanya sudah kembali ke rumah asal sejak dua bulan lalu.
“Bagaimanapun ianya bukan disebabkan kerajaan negeri menghentikan pembayaran sewa rumah seperti didakwa tetapi atas kehendak dan pilihan mereka sendiri setelah mendapati keadaan rumah mereka selamat untuk diduduki semula.
“Ianya hasil daripada kerja melebar dan mendalamkan sungai yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mendapati keadaan di lokasi kini tidak lagi bahaya dan mereka yakin untuk kembali menetap di rumah asal dengan selamat,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.
Pada Khamis minggu lalu, akhbar ini melaporkan sebilangan mangsa tragedi di Kampung Iboi itu mendakwa terpaksa pulang ke rumah asal mereka setelah memaklumkan bantuan bayaran sewa rumah telah dihentikan kerajaan sejak Jun lalu.
Tambah Mohd. Shahadan, dua lagi keluarga memilih untuk terus menetap di rumah sewa yang ditanggung oleh kerajaan negeri dan pembayaran sewa akan diteruskan seperti biasa.
Katanya, kesemua lima keluarga terbabit juga akan diberi rumah ganti secara percuma dilengkapi kemudahan asas termasuk jalan dan longkang di Kampung Bok Bak yang tidak jauh dari kampung asal mereka.
“Proses pengambilan balik tanah untuk tapak rumah ganti telah selesai dan kini dalam proses pembinaan rumah yang diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kedah dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Menurut beliau, tragedi pada 4 Julai tahun lalu telah mengakibatkan 17 keluarga hilang tempat tinggal dengan 12 buah rumah musnah atau dihanyutkan arus banjir.
“Kesemua 12 keluarga daripada zon merah telah berpindah ke rumah ganti yang dibina oleh kerajaan negeri di Kampung Sadek, Kupang dan penyerahan kunci rumah telah disempurnakan oleh Menteri Besar. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada 23 Jun lalu,” katanya.-UTUSAN




