Jerantut: Seorang pengusaha ikan sangkar ditemukan lemas berdekatan titi sangkar ikannya di Kampung Lada, dekat sini, 3.16 petang hari ini.
Mangsa, Ariff Helmi Saharudin, 26, dari Kampung Pedah dipercayai terjatuh ketika memberi makan ikan di sangkarnya pada 11 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin, Temerloh melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak awal pagi dengan menggunakan bot.
“Mayat mangsa ditemui tidak jauh dari sangkar ikan miliknya pada 3.16 petang ini.
“Pagi tadi, kami mencari di sekitar sangkar ikannya, tetapi gagal, Apabila menyambung semula operasi SAR pada 3 petang, kami menemui mayatnya tidak lama selepas itu,” katanya.
Mangsa dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Pahang selepas mengambil ikan patin dari sangkar sebelum memberi ikan makan bersama rakannya, Fauzi Dollah, 46.
Sementara itu, ayah mangsa, Saharudin Ali, 68, bersyukur jasad anaknya ditemui berdekatan dengan sangkar miliknya.
Katanya, dia reda dengan kejadian menimpa anak ketiga daripada enam adik beradik itu dan menganggap ia adalah ketentuan Ilahi.